"Bukan masa untuk PRU!" – AMK bidas desakan segerakan pilihanraya


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menolak sebarang gesaan mana-mana pihak supaya Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen.
Naib Ketua AMK Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, gesaan Pengarah Komunikasi Strategik Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal supaya Parlimen dibubarkan ekoran tawaran peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke adalah tidak berasas.
"Kestabilan sesebuah kerajaan ditentukan oleh mandat dan kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, bukan oleh sentimen atau gesaan mana-mana pemimpin peringkat negeri.
"Pembubaran Parlimen ialah kuasa diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan alat tekanan politik," katanya dalam kenyataan.
Syed Mohd Johan Rizal sebelum ini mendakwa, tawaran peletakan jawatan Loke sebagai reaksi terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak menambah kekusutan politik negara.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq turut menolak dakwaan Kerajaan MADANI kini berada dalam keadaan “hampir karam”.
Beliau berkata, prestasi ekonomi negara menunjukkan keadaan sebaliknya apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
"Kerajaan yang ‘hampir karam’ tidak mungkin dapat mencatat pertumbuhan ekonomi sedemikian. Inilah kestabilan dasar yang dinikmati rakyat dan dipandang tinggi oleh pelabur," tegasnya.
Ahli Parlimen Sungai Petani juga memberi amaran, pilihanraya mengejut hanya berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik, selain menjejaskan pelaksanaan program kerajaan yang sedang berjalan serta meningkatkan perbelanjaan negara.
"Rakyat memerlukan kerajaan yang terus memberi tumpuan kepada pentadbiran, pembangunan ekonomi dan penyelesaian isu kehidupan seharian, bukannya pilihan raya yang dicetuskan akibat perkembangan politik semasa," tambahnya.




Comments