top of page

Budi Diesel: Kerajaan cari kaedah bantu pengguna di pedalaman Sarawak

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 days ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI kini sedang meneliti kaedah terbaik bagi memudahkan pelaksanaan Budi Diesel di Sabah dan Sarawak bagi memastikan penyampaian subsidi yang lebih cekap, berkesan dan inklusif.

Sehubungan itu, Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan dan bersabar sementara pihak kerajaan memperhalusi mekanisme berkenaan agar dapat dilaksanakan dengan lebih adil dan berkesan.


"Kita mengambil maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh rakyat di Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan inisiatif Budi Diesel serta keperluan mendesak terhadap bahan api tersebut dalam kehidupan seharian.


"Kami sedar akan ketergantungan tinggi terhadap penggunaan diesel dalam sektor pengangkutan, logistik, serta aktiviti ekonomi harian di kedua-dua negeri ini.


"Oleh itu, pihak kerajaan sedang merangka langkah untuk meningkatkan kuota subsidi bagi kategori yang mempunyai keperluan penggunaan diesel yang tinggi di Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada golongan yang terbeban," katanya menerusi satu kenyataan.

Roland Engan
Roland Engan

Menurut Roland lagi, meskipun inisiatif Budi Diesel merupakan langkah tegas dan kritikal yang perlu diambil oleh kerajaan bagi mendepani krisis bahan bakar serta memastikan ketirisan subsidi dapat dikurangkan, ia bukanlah penyelesaian mutlak.

Justeru beliau menegaskan bahawa fokus jangka masa panjang kerajaan mesti tertumpu kepada pembangunan luar bandar yang lebih agresif.


"Selagi mana kemudahan asas seperti jaringan jalan raya yang lengkap, bekalan elektrik yang stabil, dan akses kepada air bersih tidak mencapai tahap optimum di seluruh pelusuk Sabah dan Sarawak, rakyat akan terus terpaksa bergantung kepada penggunaan set generator diesel dan kenderaan yang memakan kos bahan api tinggi.


"Pembangunan infrastruktur luar bandar yang komprehensif adalah kunci utama untuk mengurangkan kebergantungan terhadap diesel secara drastik.


"Kerajaan komited untuk memastikan bahawa hasil negara disalurkan ke arah projek-projek rakyat yang mampu meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan kos sara hidup secara mampan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page