top of page

“Budayawan, intelektual, golongan kreatif Terengganu dipinggirkan”

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • May 13
  • 2 min read

Ketiadaan dasar yang jelas untuk merangkul golongan budayawan, intelektual dan penggiat industri kreatif antara menyebabkan ramai anak Terengganu memilih untuk berhijrah dan mengembangkan kerjaya mereka di luar negeri, khususnya di Kuala Lumpur.


Keadaan itu berlaku kerana kerajaan negeri dilihat gagal membina ekosistem yang menghargai daya intelektual, kebudayaan dan kreativiti masyarakat, menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob.


Katanya, walaupun Terengganu terkenal sebagai antara negeri yang konsisten melahirkan pelajar dan budayawan cemerlang, namun tiada polisi menyeluruh untuk menarik golongan itu kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.


"Kita lahirkan ramai pelajar cemerlang, penulis, budayawan dan golongan kreatif, tetapi apabila mereka berjaya, tidak ada dasar yang benar-benar menyambut mereka pulang ke Terengganu.


"Kerajaan negeri dilihat tidak mempunyai program yang serius untuk merangkul golongan intelektual ini," katanya ketika mengulas penghijrahan anak muda Terengganu ke luar negeri.


Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

Beliau mendakwa pentadbiran Pas lebih banyak menumpukan kepada program bersifat hiburan dan aktiviti yang tidak membina budaya intelektual secara menyeluruh.


"Kita lihat program yang diketengahkan lebih kepada aktiviti ‘non-intellectual’ seperti konvoi motosikal, RXZ Members dan program santai tertentu.


"Ya, ia memberi hiburan dan keseronokan, tetapi golongan intelektual memerlukan dasar yang menghargai pemikiran, karya dan kreativiti mereka," katanya.


Menurut Ahmad Nadhir, ketiadaan ruang dan pengiktirafan menyebabkan ramai budayawan, penulis dan penggiat seni memilih untuk aktif di Kuala Lumpur atau negeri lain yang menawarkan peluang lebih luas.


Katanya, Terengganu sebenarnya mempunyai potensi besar dalam sektor kebudayaan, pelancongan dan industri kreatif yang boleh dibangunkan secara serius bagi menarik semula golongan tersebut.


"Banyak ruang yang boleh dibangunkan seperti industri kreatif, pelancongan budaya dan kesusasteraan yang mampu membuka peluang kepada penggiat seni dan intelektual untuk berkarya di negeri sendiri," katanya.


Beliau turut mengimbau era pentadbiran terdahulu yang menurutnya lebih memberi perhatian terhadap pembangunan budaya dan kesusasteraan negeri.


Katanya, suatu ketika dahulu Terengganu terkenal dengan kegiatan persatuan penulis dan program kebudayaan yang melahirkan tokoh-tokoh sastera serta penggiat budaya tersohor.


"Kita pernah ada budaya kesusasteraan yang kuat melalui program seperti Esso-Gapena yang melahirkan ramai penulis terkenal dari Terengganu.


"Contohnya seperti Tengku Alias Taib dan sebagainya. Budaya dah ada, seperti ulek mayang dan sebagainya yang saya masih ingat semasa saya kecil.


"Malah dahulu aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional dan seni warisan turut aktif di bawah kerajaan negeri. Ada pertubuhan di bawah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. 


"Budaya itu memang pernah hidup tapi sekarang makin suram,” katanya menjelaskan banyak persatuan dan aktiviti kebudayaan tidak lagi diberikan perhatian sewajarnya.


"Sekarang kita lihat persatuan penulis pun semakin tenggelam. Aktiviti kebudayaan juga tidak lagi berkembang seperti dahulu.


"Sedangkan kalau ada dasar yang betul dan sokongan kerajaan negeri yang jelas, tidak mustahil ramai golongan kreatif dan intelektual ini akan kembali ke Terengganu," katanya lagi.


Beliau berpandangan antara kelemahan utama pentadbiran negeri ketika ini ialah kegagalan menyediakan dasar khusus bagi membangunkan golongan intelektual dan anak muda kreatif sebagai sebahagian daripada pembangunan masa depan Terengganu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page