top of page

Buang sikap ‘ananiyah’, rasa diri sendiri paling pandai

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Aug 16
2 min read

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh pimpinan dan anggota parti supaya menjauhi sikap ananiyah atau terlalu mementingkan diri sehingga merasakan diri sendiri paling pandai, paling baik dan paling hebat.


Dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 hari ini, Anwar berkata sikap sedemikian tidak seharusnya wujud kepada individu dalam parti yang memilih jalan perjuangan sukar yang menuntut kesetiaan, kerendahan hati serta kesediaan bekerja secara bersama.


Beliau berkata, perjuangan KEADILAN bukanlah jalan mudah kerana sebahagian besar anggota parti telah memilihnya sejak puluhan tahun lalu, ketika parti itu belum mempunyai kuasa pemerintahan.


"Jangan ada sikap ananiyah, terlalu ‘aku’. Terutama kalau jadi ketua. Saya Presiden, Perdana Menteri, di mana-mana orang puji. Kalau masuk faham begitu, saya paling pandai di negara ini, saya paling bijak, strategi saya paling baik.


"Saya bersyukur dan beristighfar kepada Allah SWT, takut kalau perkara itu menimpa," katanya.


Dalam konteks itu, Anwar turut mengingatkan pimpinan supaya sentiasa mengamalkan sikap tawaduk, bersedia berunding dan menghormati keputusan bersama.


Beliau mengaitkan perkara itu dengan pengajaran daripada peristiwa Perang Uhud, apabila sebahagian pengikut Rasulullah SAW meninggalkan kedudukan mereka kerana mengejar harta rampasan sehingga membuka ruang kepada musuh menyerang.


Menurut Anwar, pengajaran daripada peristiwa itu ialah kepentingan disiplin, kesetiaan kepada keputusan bersama dan tidak membiarkan kepentingan peribadi mengatasi matlamat perjuangan.


"Kita jangan fikir projek, fikir GLC, fikir faedah, fikir jawatan sehingga tertinggal barisan," katanya.


Beliau berkata perjuangan KEADILAN juga tidak seharusnya disempitkan kepada kepentingan mana-mana kaum atau kelompok, sebaliknya perlu terus berteraskan prinsip memperjuangkan nasib seluruh rakyat.


"Matlamat kita ialah agenda rakyat, tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Kita tidak boleh menggunakan kezaliman dan penipuan untuk mencapai matlamat," katanya.


Beliau berkata, KEADILAN bukan sekadar sebuah parti politik biasa, sebaliknya membawa pertembungan gagasan antara politik yang hanya mengejar kuasa, kekayaan dan kepentingan kroni dengan perjuangan mengangkat martabat serta maruah insan.


Sehubungan itu, Anwar mengajak seluruh anggota supaya kembali kepada prinsip asal perjuangan dengan memperbaiki diri, akhlak dan organisasi.


"Pulanglah dengan semangat yang sama. Bersihkan organisasi kita, diri kita, organisasi kita dan seluruh jalan hidup kita,” katanya menegaskan masa depan perjuangan KEADILAN bergantung kepada kesediaan seluruh anggota untuk bekerja keras dan tidak terperangkap dalam persengketaan dalaman.


"Jangan lupa matlamat kita. Mula dengan diri yang baik, akhlak yang baik untuk membentuk masyarakat yang baik," katanya.


Anwar berkata, selepas segala perdebatan mengenai keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, tumpuan kini perlu dialihkan kepada pengukuhan parti serta kerja-kerja menghadapi pilihan raya akan datang.


"Jangan bicara lagi soal Johor dan Negeri Sembilan. Dengan semangat anak-anak dan saudara-saudara, tunjukkan saya. Saya yakin insya-Allah sejarah akan menentukan kemenangan mutlak kita.


"Tetapi kerja sekarang. Kerja sekarang dan kerja dengan giat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page