top of page

Buang masa undi Pas, Wawasan: 'Suruh dengar RCI TH, Ahli Parlimen keluar'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pas dan Wawasan meninggalkan sidang khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai mengecewakan, khususnya kepada jutaan pendeposit institusi berkenaan.


Beliau berkata alasan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang sebagaimana dipetik media bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir dalam sidang berkenaan, tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk Ahli Parlimen meninggalkan dewan.


"Tan Sri Hadi berkata, ‘Dia sendiri tak dengar’, merujuk kepada ketidakhadiran Perdana Menteri.


"Saya ingin bertanya Ahli Parlimen datang ke Parlimen untuk mendengar Anwar, atau untuk mendengar penjelasan mengenai Tabung Haji? Ini sidang khas RCI Tabung Haji, bukan sidang PMX Anwar Ibrahim," sinis Mahfuz dalam kenyataan.


Menurut Mahfuz, tumpuan Ahli Parlimen sepatutnya diberikan kepada penemuan RCI termasuk kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, pematuhan undang-undang, pengurusan pelaburan dan perlindungan wang pendeposit.


"Kalau benar Pas mahu memperjuangkan kepentingan pendeposit, tumpuan mereka sepatutnya kepada penemuan RCI, kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, pematuhan undang-undang, pengurusan pelaburan, perlindungan wang pendeposit; dan cadangan pembaharuan Tabung Haji.


"Bukan siapa yang duduk di kerusi Perdana Menteri. Jangan kelirukan sidang mengenai RCI Tabung Haji dengan sidang mengenai Anwar," katanya.


Mahfuz berkata tindakan keluar Dewan ketika penerangan mengenai RCI hendak diberikan menunjukkan percanggahan antara alasan Pas dan tindakan wakil rakyatnya.


Beliau berkata ketidakhadiran Anwar kerana menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan juga tidak sepatutnya menghalang pembangkang daripada menjalankan tanggungjawab mereka.


"Kalau benar pembangkang mahu menunjukkan kematangan, mereka boleh berkata, ‘PM tidak dapat hadir kerana rawatan. Kami tetap akan hadir untuk mendapatkan penjelasan dan menjalankan tanggungjawab kepada pendeposit.’


"Itulah contoh kepimpinan. Bukan bila ‘PM tak ada, kami keluar’," katanya.


Mahfuz menegaskan pembangkang tidak diwajibkan bersetuju dengan penerangan kerajaan berkaitan Laporan RCI Tabung Haji, tetapi tetap mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri sidang, menyoal dan mengkritik.


"Tugas mereka ialah, dengar, soal, cabar, kritik dan cadangan alternatif. Kalau mereka tidak bersetuju dengan penemuan atau penjelasan RCI, bangun dan bantah dengan fakta," katanya.


Menurutnya, rakyat memilih Ahli Parlimen untuk menjalankan tanggungjawab di Dewan Rakyat, bukannya sekadar mencatat kehadiran.


"Rakyat memilih Ahli Parlimen untuk datang ke Dewan, bukan sekadar mencatat kehadiran. Jangan sampai kerja Parlimen hanya tinggal tiga perkara iaitu datang, tekan butang, kemudian keluar.


"Macam murid datang sekolah, tulis nama dalam buku kehadiran, kemudian balik sebelum cikgu mengajar. Petang nanti dia marah kerana tidak faham pelajaran," katanya.


Mahfuz turut mempersoalkan pendirian Pas berhubung tadbir urus Tabung Haji pada 2016 berbanding tindakan wakil parti itu ketika Laporan RCI berkenaan dibincangkan pada 2026.


"Pas sendiri perlu menjelaskan percanggahan pendirian pada 2016. Setiausaha Agung Pas ketika itu menyatakan keyakinan terhadap kemantapan sistem tadbir urus Tabung Haji. Kini apabila Laporan RCI mengenai pengurusan TH dibincangkan, wakil Pas memilih meninggalkan Dewan.


"Maka rakyat berhak bertanya, ‘2016 kata tadbir urus TH mantap. 2026 apabila RCI hendak diterangkan, kata buang masa. Apa yang berubah, Tabung Haji atau pendirian Pas?’," tanyanya.


Beliau berkata jika Pas benar-benar yakin dengan pengurusan Tabung Haji ketika itu, pembentangan RCI sepatutnya menjadi peluang untuk mereka mendengar, bertanya dan mempertahankan pendirian berkenaan.


Mahfuz turut menyifatkan tindakan meninggalkan Dewan sebagai satu bentuk pengabaian terhadap tanggungjawab yang diberikan pengundi.


"Kesian rakyat yang juga pengundi beratur, berpanas dan buang masa mengundi Ahli Parlimen PN dari Pas dan Wawasan, dulunya Bersatu, yang datang Parlimen lari tinggal tanpa tunai tanggungjawab," sinisnya.


Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai perbezaan antara politik identiti yang diperjuangkan Umno dan Pas berbanding dengan politik integriti yang dipertahankan Pakatan Harapan.


"Doktor sedang merawat PM waktu sidang khas. MP Pas dan Wawasan pula sampai hari ini merawat alasan. Tetapi pendeposit Tabung Haji masih menunggu cadangan rawatan dari Pas dan Wawasan.


"Inilah perbezaan politik identiti dengan politik integriti. Politik identiti membuat rakyat takut. Politik integriti membuat rakyat yakin," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page