Boleh Kritik PMX Tetapi Jangan Hukum Dengan Persepsi
- Suara Keadilan

- 21 hours ago
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Kenyataan dan video Datuk Seri Rafizi Ramli yang tular, khususnya apabila beliau mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan isu integriti, Farhash Wafa Salvador, Datuk Seri Ramanan, Tan Sri Azam Baki serta dakwaan berkaitan RM9.5 juta, semua itu perlu kita jawab dengan tenang tetapi tegas.
Saya tidak berminat untuk menyerang peribadi Rafizi. Tetapi apabila Rafizi menyerang kredibiliti dan peribadi PMX melalui dakwaan-dakwaan yang besar, kita juga mempunyai hak untuk bertanya: Apakah bukti yang dikemukakan?
Dalam politik, lebih-lebih lagi apabila melibatkan Perdana Menteri dan reputasi seseorang, kita tidak boleh menjadikan persepsi sebagai fakta.
Sesiapa pun berhak kritik PM
Rafizi mempunyai hak untuk mengkritik Datuk Seri Anwar. Kritiklah dasar kerajaan, keputusan Perdana Menteri, ekonomi, subsidi, pentadbiran atau kritiklah mana-mana menteri. Itulah demokrasi.
Tetapi apabila kritikan mula berubah menjadi rangkaian dakwaan terhadap integriti dan karakter peribadi PMX maka rakyat juga berhak meminta Rafizi membuktikan setiap dakwaan tersebut. Ini bukan soal menyebelahi Anwar. Ini soal prinsip.
Jangan campur nama orang bina persepsi atas PMX
Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah kecenderungan menghubungkan PMX dengan individu-individu tertentu, kemudian menggunakan hubungan tersebut untuk membina persepsi seolah-olah Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh individu berkenaan. Itu adalah hujah yang perlu kita lihat dengan sangat berhati-hati.

Seseorang mengenali seseorang bukan bukti bahawa dia terlibat dalam kesalahan orang tersebut. Jika ada transaksi, buktikan transaksi, ada arahan, buktikan.
Jika ada campur tangan, buktikan. Jika ada rasuah, buktikan. Jangan rakyat diminta membuat kesimpulan hanya kerana beberapa nama disebut dalam video yang sama.
Rafizi telah membangkitkan dakwaan berkaitan RM9.5 juta. Tetapi Ramanan telah menafikan dakwaan tersebut dan meminta bukti dikemukakan. Maka di sinilah kita perlu kembali kepada asas rule of law.
Kalau benar ada bukti, kemukakan kepada pihak berkuasa. Kalau benar berlaku kesalahan, biarkan SPRM atau institusi penguatkuasaan menjalankan siasatan. Tetapi jangan mengambil satu dakwaan yang masih dipertikaikan lalu menggunakannya sebagai “bukti” untuk menyerang Perdana Menteri. Itu tidak adil kepada sesiapa pun.
Azam Baki bukan alat untuk menghukum
Nama Tan Sri Azam Baki turut disebut dalam naratif yang sedang berkembang.
Sekali lagi, kita perlu membezakan antara fakta, dakwaan, siasatan dan keputusan. Jika ada persoalan mengenai integriti mana-mana pegawai atau individu, siasat. Jika ada bukti salah laku, ambil tindakan.
Tetapi jangan pula kerana nama seseorang muncul dalam satu rangkaian cerita, maka kesimpulan politik terus dibuat terhadap Perdana Menteri. Kita tidak boleh membina sistem keadilan berdasarkan association by perception.
Menariknya, Rafizi sendiri sering membawa tema integriti, reformasi dan ketelusan dalam politik Malaysia.
Saya setuju dengan prinsip itu. Tetapi prinsip yang sama mesti digunakan kepada semua pihak — termasuk Rafizi sendiri.
Jika kita mahu politik berintegriti, maka kita mesti mempunyai keberanian untuk berkata: “Saya mempunyai dakwaan, tetapi saya perlu buktikan.”
Bukan: “Saya membuat dakwaan, maka rakyat mesti percaya.” Itu dua perkara yang sangat berbeza.
Kritik dibenar, bukan burukkan seseorang
Saya tidak mengatakan Anwar Ibrahim tidak boleh dikritik. PMX bukan manusia yang sempurna. Kerajaan juga bukan kerajaan yang sempurna. Menteri-menteri juga boleh melakukan kesilapan. Tetapi perbezaan pendapat politik tidak sepatutnya membawa kita kepada budaya character assassination.
Jika Rafizi tidak bersetuju dengan Anwar, lawan dengan hujah, tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, bawa angka. Jika Rafizi mempunyai bukti salah laku, bawa dokumen. Itulah keberanian politik yang sebenar.
Rakyat Malaysia hari ini bukan lagi mudah menerima setiap video viral sebagai kebenaran. Mereka mahu tahu: Mana buktinya?
Siapa yang mengesahkan? Apa dokumennya? Apa keputusan siasatan? Apa keputusan mahkamah?
Itulah sebabnya kita mesti berhenti daripada politik yang hanya bermain dengan emosi dan persepsi.
Kepada Datuk Seri Rafizi, jawapan saya mudah: Kritiklah PMX. Itu hak saudara. Tetapi apabila saudara membuat dakwaan yang begitu serius sehingga menyentuh integriti dan reputasi Perdana Menteri, maka saudara juga mesti bersedia menjawab persoalan rakyat: “Apakah bukti saudara?”
Jangan kita meminta PMX membuktikan dirinya tidak bersalah terhadap setiap dakwaan yang dilemparkan. Prinsip keadilan adalah sebaliknya: Pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti.
Dan kalau bukti itu ada, silakan bawa kepada institusi yang sah. Jika tiada, jangan jadikan video viral, potongan ucapan dan persepsi politik sebagai mahkamah rakyat.
Politik tahap lebih matang
Saya percaya politik Malaysia mesti bergerak ke tahap yang lebih matang. Kita boleh menjadi penyokong Anwar tanpa menjadi “yes man”. Kita boleh mengkritik Rafizi tanpa membenci beliau. Kita boleh berbeza parti tanpa menjadi musuh. Tetapi satu perkara mesti kita pertahankan bersama: Kebenaran mesti berasaskan fakta.
Kerana apabila tuduhan menjadi pengganti bukti, dan persepsi menjadi pengganti keputusan undang-undang, maka bukan PMX sahaja yang terjejas. Institusi demokrasi dan keyakinan rakyat terhadap politik Malaysia juga akan menjadi mangsa.
Jadi kepada Rafizi: Kritik PMX, ya. Persoalkan kerajaan, ya. Dedahkan salah laku, ya.
Tetapi jangan menghukum karakter seseorang hanya melalui dakwaan yang belum dibuktikan. Buktikan dahulu. Kemudian rakyat akan menilai.
Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia




Comments