'BN jangan hipokrit, sokong PM tetapi hentam dasar kerajaan'


Cakap sokong pentadbiran PMX (Datuk Seri Anwar), tapi bila di luar, (apabila berhadapan) dengan pihak media, kutuk (pula) kerajaan, dasar kerajaan dan parti kerajaan. - Iman Haziq
Kenyataan Barisan Nasional (BN) yang terus menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI dilihat bercanggah dengan tindakan segelintir pemimpinnya yang secara terbuka mengkritik pentadbiran dan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi, tindakan itu jelas mencerminkan hipokrasi politik tahap tertinggi apabila sokongan yang dizahirkan tidak selari dengan pendirian dan tindakan pemimpin BN di luar pentadbiran kerajaan.
"Itulah tahap hipokrasi yang paling tinggi pernah ada dalam landskap politik Malaysia.
"Dalam kelambu cakap nak bersama menyokong Kerajaan MADANI, tapi di luar secara terang-terangan mengutuk kerajaan, padahal mereka juga dalam pentadbiran kerajaan.
"Cakap sokong pentadbiran PMX (Datuk Seri Anwar), tapi bila di luar, (apabila berhadapan) dengan pihak media, kutuk (pula) kerajaan, dasar kerajaan dan parti kerajaan," bidas beliau.
Ditanya mengenai ‘serangan’ BN terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini serta gesaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook agar BN menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, Iman bersetuju bahawa keluar daripada kerajaan merupakan tindakan yang sepatutnya jika tidak lagi sehaluan.
"Betul, itulah sebenarnya cara anak jantan (tinggalkan kerajaan) sebab BN merupakan sebahagian daripada kerajaan.
"Contohnya, kita duduk dalam satu rumah, tetapi mengutuk kawan-kawan serumah dengan pelbagai alasan seperti tidak membasuh pinggan, tidak menjaga rumah atau tidak menutup pintu, sedangkan dia sendiri masih tinggal di rumah itu.
"Jadi, pada saya, keputusan terbaik yang perlu dibuat oleh mereka (BN) ialah keluar daripada rumah, iaitu keluar daripada kerajaan.
"Itulah cara anak jantan.. itulah cara yang terbaik untuk mereka, satu bumbung, ‘duk’ kutuk-kutuk tapi tak nak keluar rumah," selar beliau yang juga merupakan Ketua AMK Cabang Ampang.




Comments