Besarkan fakulti perubatan, tampung peningkatan pelajar cemerlang - PM
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan perlu mencari jalan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi tujuan pembesaran fakulti-fakulti perubatan umpamanya di universiti termasuk menyediakan kemudahan baharu bagi menampung peningkatan pelajar yang memilih bidang tersebut, demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah tersebut juga bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilakukan untuk semua rakyat terutama dalam bidang kesihatan seperti kemudahan di Institut Jantung Negara (IJN) agar tiada pihak yang tersisih.
"IJN ada keistimewaan dia, sinergi di antara kemahiran dan kepakaran ulung negara yang mampu menjadi pendidik dan dengan sendirinya gabungan ini agak ideal, sinergi di antara doktor pakar yang terlibat secara langsung dalam bidang perubatan dan yang mampu mendidik anak-anak.
"Dan sebab itu saya setuju dengan keputusan dibuat oleh IJN, masa itu Dr. Dzulkefly (Menteri Kesihatan) sendiri dan Dr. Zambry (Menteri Pengajian Tinggi) yang berusaha mempercepatkan proses kelulusan, menjadikannya dan mengangkat kedudukannya sebagai IJN University College," kata beliau ketika merasmikan Kolej Universiti IJN di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Canselor Kolej Universiti IJN Profesor Emerita Dr Durrishah Idrus.
Perdana Menteri berkata, Kolej Universiti IJN diasaskan bukan sahaja memenuhi strategi dan keutamaan IJN tetapi memenuhi keperluan negara dan rakyat keseluruhannya.
"Apa tugas kita? Ya, tentunya melatih dan saya dengar Naib Canselor tadi menjelaskan bahawa janganlah kita kesampingkan atau remehkan keperluan rakyat dari pelbagai kalangan. Negara ini tidak mungkin menerima kenyataan pembangunan, tapi dalam masa yang sama menyisihkan sebahagian dari rakyat. Sama ada kaum, pendalaman atau yang miskin. Ini tanggungjawab kita. Dia tidak mudah kerana kadang-kadang orang lebih senang bicara soal daerah dan wilayah, kaum dan kedudukan," ujar beliau.
"Tapi kita mesti ingat, membangunkan negara ini membangunkan semua rakyat. Jangan mengizinkan mana-mana rakyat merasa tersisih. Sebab itu bila kita hadapi kegelisahan sebahagian daripada rakyat, anak-anak muda yang cerdik dan pintar dari semua kaum, dibangkitkan di Jemaah Menteri, kita cari penyelesaian"
Anwar berkata susulan perkara itu kerajaan menyediakan 1,500 tempat tambahan yang juga mengambil kira bukan sahaja pelajar dari matrikulasi malah dari Tingkatan 6 yang cemerlang.
"Dan tentunya untuk tahun berikutnya nanti, Naib Canselor ya, IJN juga, tentu saya yakin akan menjadi antara keutamaan pilihan anak-anak kita kerana gedung ini mengumpulkan kepakaran yang tinggi dan jangan tinggalkan," katanya.
"Jadi disebut tadi tentang aspek membantu kelompok yang miskin dia pintar, anak dari keluarga yang kedudukannya tinggi — menengah atau atas yang dapat keputusan cemerlang, itu tidak sangat menakjubkan tetapi anak dari keluarga yang miskin, dari PPR, dari estet, dari kampung pendalaman dari sekolah biasa, mencatat keputusan yang baik. Ini tentunya dengan kegigihan, dengan pengorbanan ibu bapa, dengan ketekunan mereka," jelasnya lagi.
Dalam masa sama kata Perdana Menteri kelompok pelajar miskin turut perlu dibantu oleh badan-badan seperti IJN atau syarikat serta institusi lain sebagai tanggungjawab moral yang penting ini.
"Negara ini mampu terangkat sebagai negara hebat dengan mutu pendidikan yang baik, dan negara ini harus lebih prihatin (empathy) dan ada ihsan kepada rakyat dengan memastikan setiap warga tidak tersisih dari mendapat rawatan dan perubatan yang baik. Sebab itulah kita gunakan segala ikhtiar kita mencari dana, mengumpul dana dan memberikan perhatian," katanya.





