top of page

Bersiap sedia hadapi krisis tenaga, makanan global - MAPIM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa rakyat Malaysia agar bersiap siaga menghadapi ketidaktentuan global yang kini memberi kesan langsung kepada krisis tenaga dan keterjaminan makanan.


Beliau berkata, dunia kini memasuki fasa baharu apabila kejutan tenaga dan krisis makanan bukan lagi bersifat sementara sebagaimana pemahaman majoriti rakyat.


"Dunia kini memasuki satu fasa di mana kejutan tenaga dan krisis makanan bukan lagi gangguan sementara tetapi menjadi realiti struktur yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, faktor seperti konflik geopolitik, gangguan bekalan minyak dan gas, perubahan iklim serta ketidaktentuan rantaian bekalan global menjadi pendorong utama kepada situasi tersebut.


"Kita sangat terdedah kerana kebergantungan import, termasuk harga bahan api dan bekalan makanan. Malaysia terdedah kepada harga tenaga global kerana masih bergantung kepada mekanisme harga minyak global," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna bakal berdepan kenaikan harga makanan, ketidakstabilan bekalan barangan asas serta penyusutan kuasa beli.


Azmi Abdul Hamid
Azmi Abdul Hamid

Hal itu, ujarnya kerana Malaysia mengimport sebahagian besar gandum, daging lembu, produk tenusu dan makanan ternakan. Gangguan global menyebabkan kenaikan harga dalam negara.


"Kos tenaga mempengaruhi pengangkutan, pengeluaran dan logistik, kos makanan menjadi beban paling ketara kepada rakyat. Hasilnya krisis kos sara hidup


"Ini bukan sekadar isu ekonomi. Ia adalah isu kelangsungan hidup harian isi rumah," kata Azmi.


Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa era makanan murah dan stabil telah berakhir. Rakyat perlu mengubah pendekatan daripada menikmati pelbagai kemudahan kepada kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kemungkinan.


"Oleh itu, rakyat digalak tanam makanan asas di rumah seperti sayur dan herba, amalkan pertanian bandar, simpan stok makanan kering asas. Langkah kecil ini memberi kesan besar kepada daya tahan.


"Pengguna juga perlu kurangkan pembaziran makanan, beli secara terancang, bukan impulsif dan utamakan produk tempatan."


Selain itu, Mohd Azmi menggalakkan rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif mengurangkan penggunaan elektrik, guna tenaga solar jika mampu atau minimumkan penggunaan bahan api.


Di samping itu, rakyat wajar menyediakan simpanan kecemasan, kurangkan hutang tidak perlu dan utamakan perbelanjaan asas.


Dalam masa sama, kata Azmi, kerajaan pula harus memperkukuh pengeluaran makanan tempatan, menambah baik sistem subsidi serta melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.


"Krisis ini bukan akan datang, ia sudah pun berlaku. Persoalannya bukan sama ada harga akan naik, tetapi sama ada kita sudah bersedia," tambah Azmi.


Beliau menegaskan, untuk bertahan dalam suasana akan datang pengguna Malaysia perlulah beralih daripada menjadi pembeli pasif kepada berperanan lebih aktif dalam membina daya tahan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page