top of page

Mangsa kebakaran Sandakan: PM janji bantuan menyeluruh

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar bertanya keperluan dan bantuan yang diperlukan mangsa kebakaran Kg Bahagia, Sandakan
DS Anwar bertanya keperluan dan bantuan yang diperlukan mangsa kebakaran Kg Bahagia, Sandakan

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang ke Sandakan semalam bagi menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi yang melibatkan kira kira 300 keluarga, kelmarin.


Menurut Anwar, keadaan mangsa yang ditemui amat menyentuh hatinya, terutama melibatkan kanak-kanak serta keluarga yang mengalami kehilangan tempat tinggal dan harta benda.


"Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati," katanya dalam muat naik di Facebook.


Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekaguman terhadap ketabahan mangsa yang terus kuat menghadapi ujian tersebut.


Memilukan... bayi yang baharu lahir tidak lagi mempunyai kediaman, ditempatkan bersama keluarga di PPS
Memilukan... bayi yang baharu lahir tidak lagi mempunyai kediaman, ditempatkan bersama keluarga di PPS

"Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan," katanya.


PM memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus membantu dan tidak akan membiarkan mangsa menghadapi situasi itu bersendirian.


"Kerajaan Persekutuan tidak akan sesekali membiarkan mereka sendirian. Sumbangan segera telah dan sedang digerakkan meliputi bantuan wang ihsan, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri," katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa usaha digiatkan bagi memastikan mangsa dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik, termasuk memastikan anak-anak kembali ke sekolah secepat mungkin.


"Usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa bantuan turut diberikan kepada mangsa bukan warganegara atas dasar kemanusiaan.


"Dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan. Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan," katanya.


Anwar juga memaklumkan bahawa beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan mangsa.


Untuk rekod, kerajaan mengumumkan bantuan sumbangan ihsan untuk 300 keluarga terjejas seperti RM 1,500 (bantuan Kerajaan Persekutuan); RM1,000 (Kerajaan Sabah); RM1,000 (Yayasan Kebajikan Sabah) dan RM300 (Bantuan Ihsan Pelajar Sabah).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page