top of page

Bersama ‘spoiler’ PRN Johor, PH perlu strategi berkesan - Penganalisis

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

Kemasukan parti baharu, Bersama yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sebagai percaturan politik yang berpotensi menjadi “spoiler” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.


Penganalisis politik, Shahbudin Embun (gambar) berkata, walaupun peluang kemenangan Bersama dilihat tipis, kehadiran mereka boleh memberi kesan tertentu terhadap landskap politik negeri berkenaan.


"Kemasukan Bersama bukanlah satu gerakan politik biasa tetapi satu percaturan strategik yang berpotensi menjadi ‘the spoiler’ paling berbahaya dalam PRN Johor," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, Bersama tampil dengan naratif seperti “New Reform” dan “Saka 2.0” yang dilihat cuba mengaitkan diri dengan legasi perjuangan reformasi yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Namun, katanya, pendekatan tersebut sebenarnya berisiko memecahkan sokongan sedia ada khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan profesional yang sebelum ini cenderung kepada Pakatan Harapan (PH).


"Ini adalah strategi klasik vote-splitting, satu taktik yang dalam konteks Johor, hanya akan menguntungkan pihak lawan, khususnya BN.


"Johor adalah kubu tradisi BN dengan kekuatan jentera yang mantap. Dalam situasi ini, kemunculan Bersama yang bertanding di semua 56 kerusi bukanlah satu langkah bijak tetapi satu tindakan tidak realistik dari sudut logistik, tidak matang dari sudut strategi, dan tidak bertanggungjawab terhadap kestabilan politik," ujarnya.


Shahbudin yang juga Pengerusi Biro Politik SEKPUR mendakwa kemunculan Bersama membawa implikasi lebih luas termasuk melemahkan KEADILAN dari dalam serta mencabar kepimpinan Kerajaan MADANI.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah strategik termasuk memperkukuh naratif politik, mendekati semula penyokong tradisi serta meletakkan calon berwibawa bagi mengekang pengaruh Bersama.


Beliau menegaskan, jika tidak ditangani dengan berkesan, kehadiran Bersama boleh mengurangkan majoriti PH, melemahkan moral penyokong serta membuka ruang kepada BN untuk terus dominan di Johor.


"Untuk memastikan Bersama tidak menjadi duri dalam daging, beberapa langkah strategik perlu diambil segera seperti serangan Naratif. PH perlu menegaskan bahawa Bersama bukan pembaharuan tetapi pecahan yang melemahkan reformasi sebenar.


"KEADILAN dan PH mesti kembali mendekati penyokong tradisi, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar yang menjadi sasaran Bersama.


"Rakyat perlu diberi kefahaman bahawa Bersama bukan alternatif, tetapi alat yang berpotensi memecah undi dan menguntungkan pihak lawan," katanya lagi.


Tegas beliau, Bersama bukan ancaman dari segi kemenangan kerusi, tetapi ancaman dari segi kerosakan strategi. Dalam politik, kadangkala pihak yang tidak menang pun boleh menentukan siapa yang kalah.


Justeru, katanya Bersama perlu dilihat bukan sebagai pesaing kecil, tetapi sebagai “spoiler strategik” yang wajib dinetralkan segera.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page