Berita gembira buat M40! Had kelayakan bantuan dinaikkan kepada RM8,000
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Golongan M40 yang sebelum ini sering kali merungut kerana merasakan mereka disisihkan daripada menerima bantuan atau insentif daripada kerajaan, kini boleh senyum lebar.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun semalam mengumumkan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang membawa berita besar dan gembira bukan sahaja untuk golongan B40, malah bakal menceriakan golongan M40 juga.
Jika sebelum ini bantuan dan insentif daripada Kerajaan Negeri Sembilan hanya golongan B40 sahaja layak memohon.
Namun, sekiranya pada 1 Ogos 2026 nanti Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke 16, golongan M40 juga layak menerima segala bantuan dan insentif yang diumumkan Aminuddin di Klana Resort semalam.
Apa tidaknya, kalau sebelum ini pendapatan seisi keluarga RM4,000 dan ke bawah sahaja layak menerima bantuan tertentu, tetapi kalau Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Negeri pada 1 Ogos nanti, pendapatan isi rumah RM8,000 dan ke bawah juga layak menerima bantuan tersebut.
Insentif yang akan paling dapat sambutan nanti ialah insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).
Bagi senang faham, kalau gaji ibu bapa dicampurkan menjadi RM8,000 sekali pun, anaknya yang melanjutkan pengajian ke IPT tetap akan dapat insentif seperti berikut: Sijil RM500, Diploma RM750, Diploma STEM RM1,000, Ijazah Sarjana Muda RM1,200 dan Ijazah Sarjana Muda STEM RM1,500.
Bukan itu sahaja anak-anak mereka juga akan menerima Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM2,400 setahun.
Pengumuman besar Aminuddin tidak habis di situ, anak-anak golongan M40 dan sudah tentu golongan B40 juga akan menerima Sumbangan Komputer Riba Mahasiswa (mengikut spesifikasi jurusan).
Aminuddin turut mengumumkan berita manis apabila menaikkan kadar bantuan dan insentif dalam manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan.
Sebagai contoh kalau sebelum ini pelajar IPT yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda menerima insentif one-off RM1,000. Tetapi dalam Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan insentif tersebut telah dinaikkan kepada RM1,200.
Bantuan Warga Emas 70 tahun ke atas, kalau sebelum ini RM200 setahun, kini telah dinaikkan kepada RM300 setahun.
Menariknya kalau sebelum ini hanya Warga Emas berumur 70 tahun atas sahaja menerima bantuan, tetapi sekiranya Pakatan Harapan kembali mentadbir, golongan Warga Emas berumur 65 ke 69 tahun juga layak menerima bantuan RM200 setahun.
Banyak lagi bantuan dan insentif yang bakal dinikmati rakyat Negeri Sembilan.
Golongan B40 dan M40 Negeri Sembilan boleh senyum lebar sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRN-16 Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.
