“Beri saya lima tahun" - Ginie akan selesaikan masalah di Machap Jaya


"Berilah lima tahun!" Itu permintaan Datuk Ginie Lim kepada pengundi DUN Machap Jaya ketika beliau mahu meneruskan agenda pembangunan dan menyelesaikan masalah penduduk yang didakwa masih belum beres di kawasan berkenaan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya itu berkata, tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Melaka sebelum ini tidak sampai lima tahun berikutan pergolakan politik, sekali gus menyebabkan beberapa inisiatif pembangunan tidak dapat diteruskan sepenuhnya.
Justeru, beliau berharap rakyat memberikan peluang kepadanya untuk menyambung usaha yang tertangguh serta membawa penambahbaikan kepada kawasan itu.
"Saya berkhidmat tak habis lima tahun, bukan pilihan saya tetapi pergolakan politik yang kita tak dapat nak kawal.
"Hari ini saya mohon, mewakili KEADILAN, mewakili Harapan, berilah lima tahun. Betul-betul cukup lima tahun untuk saya laksanakan apa-apa inisiatif yang tertangguh dan untuk penambahbaikan yang akan datang," katanya ketika berucap pada ceramah kepompok "Santai Bersama Datuk Ginie Lim" di Kampung Bukit Bulat, baru baru ini.
Namun, di sebalik permintaan itu, Ginie turut membangkitkan beberapa isu yang menurutnya masih menghantui penduduk, termasuk gangguan bekalan air di kawasan tertentu, lampu jalan yang belum diselesaikan serta aduan bau daripada ladang ternakan ayam.
Menurutnya, masalah bekalan air di Machap Umbu perlu diberikan perhatian segera, terutama apabila ia menjejaskan kehidupan penduduk yang mempunyai ramai warga emas.
"Ini masalah paip lama tak dibaiki perlu disegerakan supaya dia tak menjadi satu gangguan, khususnya kepada masyarakat ataupun komuniti yang ramai warga emas," katanya.
Bagi isu bau daripada ladang ternakan ayam pula, beliau berkata aduan penduduk perlu ditangani menerusi perbincangan terbuka antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak swasta.
"Perkara ini boleh kita selesaikan dengan dialog secara terbuka bersama dengan agensi, bersama dengan pihak swasta untuk laksanakan," katanya.
Ginie turut menyentuh isu lampu jalan yang menurutnya masih menjadi rungutan penduduk selepas menunggu penyelesaian selama beberapa tahun.
Projek jalan kampung siap kurang dua tahun
Mengimbas rekod pentadbirannya selepas memenangi pilihanraya pada 2018, Ginie menjadikan pembinaan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer sebagai contoh usaha menyelesaikan masalah penduduk meskipun berdepan halangan pentadbiran.
Katanya, jalan yang menghubungkan penduduk dengan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) itu penting kerana digunakan orang kampung untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Beliau berkata, laluan berkenaan sekian lama tidak dibina sepenuhnya, malah projek itu berdepan kekangan apabila dimaklumkan bahawa pembinaan jalan hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat sekurang-kurangnya empat buah rumah di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, beliau tetap memperjuangkan projek itu kerana keperluan penduduk tidak sepatutnya diketepikan hanya disebabkan kekangan berkenaan.
"Saya guna kuasa dengan sebaiknya. Saya kata kita utamakan projek ini," katanya.
Menurutnya, selepas PH memenangi pilihanraya pada Mei 2018, jalan berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya pada November 2019.
Beliau berkata, projek itu membuktikan bahawa masalah rakyat boleh diselesaikan apabila pemimpin mempunyai kemahuan politik untuk bertindak, terutama apabila kemudahan berkenaan memberi manfaat kepada ramai pengguna.
Dalam pada itu, Ginie menegaskan bahawa dana kerajaan merupakan wang rakyat yang perlu digunakan untuk kepentingan masyarakat, bukannya dibiarkan tanpa penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.
"Kita pastikan dana kerajaan, dana awam, dana rakyat digunakan balik untuk kebaikan rakyat.
"Perlu ada kemahuan politik. Kita tak boleh biarkan," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa masalah penduduk tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kehidupan seharian.
"Apa yang kita lihat sini adalah kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah rakyat dan menganggap setiap masalah rakyat itu adalah penting," katanya.
Ginie berkata, pembangunan Machap Jaya memerlukan usaha berterusan dan kerjasama pasukan bagi memastikan masalah yang tertangguh dapat ditangani, selain membuka ruang kepada pelaksanaan inisiatif baharu.
"Hasrat saya adalah kita dapat majukan Machap, Machap Jaya dan kita dapat majukan, bangunkan Melaka bersama," katanya.




Comments