Beri ruang KPM terangkan isu Polisi Perlindungan Murid - Fadhlina
- Azuan Ab Rahman

- Aug 14
- 1 min read

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) menyeru warga pendidik memberi ruang untuk Kementerian Pendidikan (KPM) memperincikan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Menurut Fadhlina, dasar tersebut dirangka dengan mengutamakan aspek keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah dan menjamin perlindungan menyeluruh kepada semua pihak yang berurusan dengan murid.
"Saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahir kan oleh guru-guru.
"KPM komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.
Pelaksanaan polisi tersebut diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas.
Antara lain ia mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah serta warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.
Polisi tersebut juga jelasnya menyediakan panduan terperinci tanggungjawab serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sesuatu insiden di sekolah.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyatakan sokongan dan menyambut baik usaha KPM memastikan murid selamat, dilindungi dan sejahtera ketika berada di sekolah.
Bagaimanapun kesatuan tersebut berpandangan, tiada keperluan untuk guru menandatangani aku janji tersebut.




Comments