Berhenti jaga hati rakan politik seperti Umno - AMK Pulau Pinang
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 1 min read

Pemimpin KEADILAN didesak berhenti bersikap 'people pleaser' atau terlalu menjaga hati rakan politik seperti Umno sehingga merugikan parti sendiri.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, seluruh kepimpinan parti, daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK, hingga ke Wanita perlu lebih berani mempertahankan parti dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Cukup-cukuplah jaga hati kawan. Hati kita, siapa pula nak jaga?" katanya sewaktu membahaskan usul Ucapan Dasar Ketua AMK pada Kongres AMK di MITC, Melaka pada Jumaat.
Muhammad Fadzli yang juga Ahli Majlis Pimpinan AMK Pusat turut mengingatkan pemimpin parti agar tidak terlalu takut kehilangan sokongan rakan politik sehingga memilih untuk berdiam diri apabila kepentingan parti terjejas.
"Dalam politik, kita boleh berkawan dengan sesiapa, tetapi jangan sampai kerana mahu menjaga hati kawan tetapi kita lupa siapa yang kita perjuangkan dan siapa yang berada di belakang kita," katanya.
Menerusi perbahasannya, Muhammad Fadzli turut mengesa AMK menjadi 'perisai' kepada KEADILAN dan tidak membiarkan parti terutama Presidennya diperkotak-katikkan oleh pihak luar.
Beliau turut mengkritik kenyataan kontroversi olehbeberapa pemimpin DAP yang didakwa boleh mengganggu usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat.
"Saya nak tegur pemimpin DAP, kurang-kurangkan kenyataan kontroversi. Kasihanlah kepada pemimpin kami yang penat-penat nak pulihkan kerajaan ini," katanya.
"KEADILAN boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO dan DAP. Nak kawan, kawan elok-elok, jangan ganggu kita nak bangunkan kerajaan, kita nak pulihkan ekonomi untuk rakyat yang kita sayang," katanya.




Comments