top of page

Bergerak solo PRN Johor: Sokongan Melayu kepada UMNO masih berpecah - Lokman

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 19
  • 2 min read

Langkah segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mula melaungkan keyakinan untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri khususnya Johor disifatkan sebagai tindakan berisiko yang boleh memakan diri, khususnya ketika sokongan Melayu terhadap UMNO masih belum benar-benar pulih.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, pemikiran bahawa BN sudah cukup kuat untuk menghadapi pilihanraya secara bersendirian dan mampu menang dengan mudah merupakan satu sikap yang sangat berbahaya.


"Ya, Johor kekal sebagai antara negeri terkuat UMNO dan BN. Tiada siapa boleh menafikannya. Jentera akar umbi masih hidup, struktur parti masih kukuh dan sokongan Melayu terhadap UMNO di negeri itu lebih kuat berbanding banyak negeri lain.


"Namun politik tidak dimenangi berdasarkan nostalgia, kegemilangan lama atau pujian terhadap diri sendiri. Pilihanraya dimenangi berdasarkan realiti semasa dan realitinya hari ini cukup jelas bahawa sokongan Melayu terhadap UMNO dan BN masih berpecah serta belum benar-benar terjamin.


"Sesiapa yang menganggap Johor sudah kembali selamat sepenuhnya ke dalam genggaman UMNO sebenarnya sedang menafikan hakikat politik di peringkat akar umbi.


"Pengundi hari ini lebih dinamik. Pengundi muda sukar dijangka dan ramai pengundi atas pagar pula masih memerhati sebelum menentukan kepercayaan mereka. Sebab itu, cakap-cakap mengenai BN bergerak solo pada waktu ini dilihat terlalu awal dan berisiko," katanya dalam satu kenyataan.


Lokman mengakui keyakinan sememangnya penting dalam politik, namun menegaskan keyakinan melampau boleh menjadi 'racun' yang membawa padah kepada sesebuah parti.


Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO berkata, sesebuah parti bukan kalah pilihan raya hanya kerana lemah, tetapi kadangkala kalah kerana terlalu angkuh.


"Jika BN Johor meneruskan rancangan untuk bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kesannya boleh menjadi sangat buruk.


"Perpecahan undi boleh membuka ruang kepada lawan merampas kerusi yang sepatutnya mampu dipertahankan dengan selesa menerusi kerjasama politik yang bersatu.


"Ada pemimpin yang seolah-olah percaya peningkatan sokongan mutakhir bermaksud BN sudah pulih sepenuhnya. Itu hanyalah fantasi politik. Pemulihan sokongan tidak bermaksud dominasi lama sudah kembali. Medan politik hari ini jauh lebih rumit berbanding dua dekad lalu.


"BN perlu memahami satu hakikat penting iaitu kestabilan dan kerjasama politik yang bijak masih diperlukan dalam iklim politik semasa. Bergerak terlalu agresif, terlalu awal dan terlalu yakin boleh menyebabkan Johor berubah daripada kubu kuat menjadi pengajaran pahit tentang salah percaturan politik," katanya lagi.


Pada 17 Mei lalu, UMNO Johor menerusi Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama keseluruhan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang PRN Johor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page