'Beras tempatan RM60 10 kilo jika harga lantai RM3,000, baik beli beras import'
- Akmal Manaf

- 13 hours ago
- 2 min read

Tawaran Perikatan Nasional (PN) menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 disifatkan hanya retorik politik untuk meraih sokongan rakyat.
Mantan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail (gambar) berkata, harga sesuatu komoditi lazimnya ditentukan berdasarkan faktor permintaan dan bekalan pasaran, bukannya berdasarkan janji politik.
"Kalau harga belian padi sebelum proses daripada petani sudah RM3,000 satu tan metrik, berapa harga sekilo beras yang akan dijual nanti?
"Jika dikira secara kasar harga lantai padi pada kadar RM3,000 satu tan metrik, harga beras tempatan dijangka meningkat sekurang-kurangnya kepada RM5 sekilogram atau sekitar RM50 bagi pek 10 kilogram berikutan kos pemprosesan dan pengangkutan.
"Jadi kalau begitu lebih kurang RM60 beras (tempatan) 10 kilogram, siapa yang akan beli beras sampai RM60? Harga beras juga ditentukan pasaran antarabangsa.
"Orang ramai akan beli beras import kalau beras tempatan terlalu mahal dan beras import lebih murah," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan PN untuk menetapkan harga lantai padi kepada RM3,000 sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16.
Dr Azman yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkata, sekiranya hal tersebut realistik dilakukan maka mengapakah sewaktu Perikatan Nasional memerintah pada 2020 - 2022 dahulu ianya tidak dilakukan?
Hakikatnya, kata beliau, PN sendiri keberatan untuk melakukannya kerana tidak berdaya saing atau selari dengan harga beras di pasaran antarabangsa.
"Saya melihat cadangan itu sekadar retorik untuk meraih sokongan petani khususnya di Kedah. Dari sudut pasaran dan ekonomi, perkara itu tidak boleh dilaksanakan
"Kalau benda ini boleh dilakukan (RM3,000 bagi satu tan metrik), kenapa sewaktu PN perintah 33 bulan (dulu) tak dilakukan? Tak sebut nak lakukan, malah tak dinaikkan langsung (harga lantai belian padi).
"Bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar membentuk Kerajaan Perpaduan, baru dinaikkan menjadi RM1,500. Ada kenaikan walaupun kita faham kosnya tinggi untuk menghasilkan padi, (tapi) masa PN perintah, RM1 pun tak dinaikkan.
"Jadi itu jelas satu usaha untuk memancing undi dan benda yang mereka sendiri tahu tak boleh dilakukan dalam keadaan pasaran sekarang, tapi hanya angan-angan kosong saja," bidas beliau.
Pada 3 Mei lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, komitmen tentang harga lantai belian padi itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara.
Menurutnya, kadar semasa sekitar RM1,500 per tan metrik dilihat tidak lagi mencukupi dan kenaikan kepada RM3,000 adalah munasabah bagi menjamin kelangsungan hidup pesawah.




Comments