UMNO teruskan kerjasama dengan MB Aminuddin - Dr Zahid
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menegaskan parti pimpinannya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, keputusan tersebut bagi memastikan kepentingan rakyat di negeri itu terpelihara, sekaligus memberi ruang kepada Aminuddin terus menjalankan urusan pentadbiran negeri tanpa sebarang gangguan.
"Kita terus bekerjasama dengan semua ADUN-ADUN dari Pakatan Harapan di Negeri Sembilan walaupun sokongan kepada Menteri Besar itu telah ditarik semula.
"Keputusan ini adalah untuk menghormati institusi Raja dan juga Undang di Negeri Sembilan," katanya dipetik.
Dr Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di Dewan Armada Utama, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, di Bagan Datuk semalam.
Pada 27 April lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat pengumuman mengejutkan bahawa semua ADUN UMNO negeri itu menarik semula sokongan terhadap menteri besar.
Susulan itu Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH dipengerusikan bersama Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat dan sepakat mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerusi laporan media baru-baru ini turut berkata, semua ADUN terbabit perlu akur kepada persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan dan mengetepikan isu hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin.




Comments