top of page

Bengkel pembuatan mi di Tuaran perkasa ekonomi wanita akar umbi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read
Peserta bengkel mendapat kemahiran membuat mi basah dalam program anjuran Wanita KEADILAN
Peserta bengkel mendapat kemahiran membuat mi basah dalam program anjuran Wanita KEADILAN

Usaha memperkasakan wanita melalui kemahiran praktikal dan peluang menjana pendapatan terus diperluaskan menerusi Bengkel Pembuatan Mi Basah dan Mi Kering yang berlangsung dengan jayanya di Bolong Baru, Sulaman, Tuaran baru baru ini.


Program yang digerakkan oleh Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Junaidah Makku @ Junn itu memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai teknik menghasilkan mi basah dan mi kering, sekali gus membuka ruang kepada wanita untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan.


Menurut Junaidah, program seumpama ini bukan sekadar memberi latihan menghasilkan sesuatu produk, sebaliknya bertujuan membina keyakinan wanita agar berani memulakan langkah dalam bidang keusahawanan walaupun secara kecil-kecilan.


"Kita bukan sekadar mahu wanita belajar menghasilkan produk. Kita mahu mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk bermula dari kecil, membina keyakinan, menjana pendapatan sendiri dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi keluarga.


"Apabila wanita diberi ilmu dan peluang, kita bukan hanya membina seorang usahawan, kita sedang memperkukuh sebuah keluarga dan komuniti," katanya.


Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Komuniti MADANI Bolong Baru, Sulaman, Tuaran, A. Amir Tawin bersama seluruh jawatankuasa atas kolaborasi dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.

Jun memberi penerangan isu semasa negara
Jun memberi penerangan isu semasa negara

Penghargaan turut diberikan kepada Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Patrick @ Sulaiman Sinnil @ Mohd Sabri atas sokongan dana bagi penyediaan bahan dan peralatan bengkel serta penglibatan barisan Ahli Jawatankuasa Cabang sepanjang program.


Majlis penutupan turut diisi dengan sesi sembang santai dan perkongsian maklumat bersama peserta melibatkan beberapa agensi.


Nur Azean Makbul, Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, bersama pasukannya berkongsi penerangan berkaitan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, panduan mengibarkan Jalur Gemilang serta isu semasa termasuk berkaitan RCI Tabung Haji.


Sementara itu, Jakson Gamalid bersama pasukan KPDN Tuaran memberikan penerangan mengenai hak-hak pengguna, saluran aduan yang betul sekiranya berdepan isu harga atau ketidakadilan terhadap pengguna, selain panduan awal kepada pengusaha yang berhasrat mendapatkan pensijilan halal.


Junaidah turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar dari Sipitang, Siti Zuriadah Mohd Shahrey @ Beji, pengusaha produk Altizam Enterprise; Siti Nooraisah Tayor, Ketua Wanita KEADILAN Cabang Tuaran; serta Jasneh Lomuti, Setiausaha Pengelola KEADILAN Cabang Tuaran atas kebersamaan dan sokongan menjayakan bengkel tersebut.


Dalam sesi bersama peserta, Junaidah berkongsi intipati Ucapan Dasar Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 lalu, selain menyampaikan maklumat mengenai beberapa inisiatif Kerajaan MADANI serta bantuan dan usaha pembangunan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Junaidah berkata, sebagai Exco Wanita KEADILAN Malaysia mewakili kepimpinan Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, serta dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Sabah, beliau akan terus berusaha membawa lebih banyak program kemahiran kepada wanita di peringkat akar umbi.


"Saya mahu program seperti ini sampai kepada lebih ramai wanita, termasuk di kampung dan kawasan yang mungkin mempunyai akses terhad kepada latihan kemahiran.


"Kita mahu ilmu yang dipelajari tidak berhenti selepas bengkel. Kalau seorang peserta mampu menghasilkan produk sendiri, mula menerima tempahan dan memperoleh pendapatan tambahan untuk keluarganya, itulah kejayaan sebenar program ini,” katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page