top of page

Bengkel pembuatan mi basah, kering perkasa kemahiran wanita Inanam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Peserta di bengkel pembuatan mi basah dan kering di Mini Dewan Kampung Bantayan, Inanam
Peserta di bengkel pembuatan mi basah dan kering di Mini Dewan Kampung Bantayan, Inanam

Usaha memperkasa golongan wanita melalui kemahiran praktikal dan peluang menjana pendapatan terus diperkasakan menerusi penganjuran Bengkel Pembuatan Mi Basah dan Mi Kering yang berlangsung dengan jayanya di Mini Dewan Kampung Bantayan, Inanam.


Program anjuran Exco Wanita KEADILAN Malaysia tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran menghasilkan mee basah dan mee kering yang berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan sampingan mahupun asas kepada perniagaan dari rumah.


Exco Wanita KEADILAN, Junaidah Makku @ Junn yang mewakili Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, program berasaskan kemahiran seperti itu merupakan antara pendekatan yang relevan dengan keperluan masyarakat, khususnya wanita di peringkat akar umbi.


Menurut beliau, kemahiran yang diberikan bukan sekadar untuk kegunaan sendiri, malah boleh menjadi titik permulaan kepada peserta untuk membina keyakinan, menceburi bidang keusahawanan dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Junaidah Makku memberi ucapan
Junaidah Makku memberi ucapan

Program tersebut turut mendapat sokongan pimpinan KEADILAN Sabah dengan kehadiran Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang meluangkan masa bersama peserta serta memberikan kata-kata semangat dan dukungan kepada usaha memperluaskan program pemerkasaan wanita.


Junaidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Sabah berkata, kesudian pimpinan turun bersama masyarakat memberikan suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan dan memperluaskan program seumpama itu ke lebih banyak kawasan.


"Kehadiran dan dukungan pimpinan amat besar ertinya kepada kami yang melaksanakan program di peringkat akar umbi. Ia memberikan semangat untuk saya terus membawa program kemahiran yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya wanita.


"Program seperti ini mungkin dilihat sederhana, tetapi impaknya boleh menjadi besar apabila ilmu dan kemahiran yang dipelajari digunakan untuk menjana pendapatan serta membantu ekonomi keluarga," katanya yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Sipitang.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Cabang KEADILAN Sepanggar, Datuk Peto Galim, Ketua Wanita Cabang serta seluruh Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang Sepanggar atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dari awal sehingga program selesai.


Dalam program berkenaan, Peto Galim turut menyampaikan ucapan dasar Presiden KEADILAN serta berkongsi penerangan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI kepada peserta.


Menurut Junaidah, pengisian tersebut menjadikan bengkel berkenaan bukan sahaja sebagai platform pembelajaran kemahiran, malah ruang untuk pimpinan mendekati masyarakat serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan.


Junaidah turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, urus setia, pimpinan serta semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan bengkel tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page