Benarkah imej negara merosot di bawah PMX?
- Suara Keadilan

- Jul 22
- 2 min read

Pembangkang PN mendakwa imej negara telah mengalami kemerosotan serius di peringkat antarabangsa di bawah pentabiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Bagaimanapun bagi mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), Perikatan Nasional terutamanya Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu mengemukakan bukti kemerosotan imej negara dilakukan PMX sebagaimana yang diperkatakannya agar tidak dianggap sengaja membohongi rakyat.
Sebaliknya, kata Ustaz Fakhrulrazi, sekiranya disemak rekod pentadbiran Anwar sejak November 2022, Malaysia ironinya semakin dikenali dan diyakini dunia dengan strategi diplomatik dan menarik pelaburan asing dilakukan PM.
"World Economic Forum 2024 telah mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang menunjukkan reformasi ekonomi progresif dalam kalangan negara membangun.
"United Nations Development Programme (UNDP) menyatakan Malaysia mencatatkan peningkatan skor dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI).
"Financial Times dan Bloomberg pula Memuji dasar fiskal dan ketegasan kerajaan dalam menangani ketirisan, rasuah, dan pembaziran
"Oleh itu serangan terhadap PMX ini lebih kepada persepsi, sentimen, dan andaian — bukan data. Malah, ada kemungkinan terdapat individu yang merasa tergugat kerana dasar PMX yang sedang membersihkan sistem daripada legasi penyalahgunaan kuasa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fakhrulrazi lagi, PM telah meletakkan Malaysia sebagai nama besar baharu dalam arena politik antarabangsa sehingga menerima undangan melawat Rusia, United Kingdom, Perancis dan Itali - negara kuasa besar dunia yang tidak pernah mengundang pemimpin kerajaan Malaysia sejak dua dekad lalu.
"PMX juga telah menjadi suara paling lantang dalam ASEAN dan OIC menentang kekejaman Israel.
"Beliau turut mendesak reformasi Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu dan menuntut kuasa veto ditamatkan demi keadilan sejagat," ujarnya.
Justeru, Fakhrulrazi hairan dengan sikap pembangkang yang tidak mahu menyokong perkara baik yang telah diperbuat PM untuk negara.
Pembangkang, katanya, harus mengutamakan rakyat berbanding berpolitik hanya untuk merampas kuasa.
Ataupun, kata beliau, pembangkang sebenarnya amat resah kerana reformasi pentadbiran yang sedang dilaksanakan PM akhirnya akan menjerat mereka, dan kes kes skandal kewangan lama akan terbongkar sebelum Pilihan Raya Umum ke 16.
"Kerana reformasi sedang menelanjangkan penyalahgunaan kuasa lama.
"Siasatan terhadap dana politik dan salah guna kuasa sedang mendekati golongan elit lama.
"Lebih meresahkan kerana Anwar tidak tunduk kepada ‘elite deal’ atau kompromi dengan kartel korup," sindir Fakhrulrazi.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat tidak perlu percaya dakyah pembangkang, apatah lagi membuang masa menghadiri himpunan Turun Anwar pada hujung minggu ini kerana pembangkang tidak mampu pun memberi bukti kelemahan atau kemudaratan negara diperintah oleh PM Anwar sejak dua tahun lalu.









Comments