Belanjawan Selangor 2027: Perubahan iklim, pendidikan antara tumpuan


Isu perubahan iklim, kelestarian alam sekitar, pendidikan, tenaga mahir dan peralihan teknologi antara perkara yang akan diberi perhatian khusus dalam penyediaan Belanjawan Selangor 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keutamaan ini hasil maklum balas daripada Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 yang berlangsung di Hotel Le Meridien Putrajaya, semalam.
"Segala perkongsian mengenai krisis iklim, perkembangan sektor pembuatan dan persediaan sumber tenaga manusia akan kita beri perhatian dan ia masih selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
"Tumpuan turut diberikan kepada usaha memastikan peralihan teknologi dapat dilaksanakan secara berkesan, selain memperkukuh sistem pendidikan dan penyediaan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri," katanya dipetik dari laporan media.
Menurut Amirudin, isu alam sekitar juga perlu dilihat sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan bersama.
Krisis serantau seperti jerebu merentasi sempadan tidak boleh ditangani Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.
"Ini bukan soal menambah atau mengurangkan peruntukan tetapi bagaimana kita menangani isu ini secara bersama kerana Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan penting," katanya.
Mengulas mengenai sesi libat urus tersebut beliau menegaskan, ia akan menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri dalam memuktamadkan Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan pada November depan.
Kehadiran tokoh antaranya Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM) dan Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Nurhisham Hussein memberi lebih ruang kepada Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan mengenai cabaran semasa serta langkah yang perlu diberi keutamaan.




Comments