top of page

Belanjawan MADANI 2026: Pulangkan hasil negara kepada rakyat - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Belanjawan 2026 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan keazaman kerajaan meningkatkan langkah memulangkan hasil negara kepada rakyat, selaras dengan tema “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat.”


Perdana Menteri menegaskan belanjawan kali ini menjadi saksi kebangkitan dan pembaharuan nasional secara menyeluruh serta menjadi belanjawan pertama yang menyemangati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI.


Menurutnya, perbelanjaan awam tahun depan dianggarkan sebanyak RM470 bilion, meningkat daripada RM452 bilion tahun sebelumnya.


Jumlah itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus, RM81 bilion belanja pembangunan serta pelaburan daripada GLIC, badan berkanun dan syarikat MKD, kata beliau.


Kerajaan turut mengekalkan komitmen terhadap disiplin fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dengan tekad menurunkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus pada 2026, serta memastikan jumlah hutang baharu terus berkurangan.


Belanjawan itu dibentangkan dengan hasil kerajaan Persekutuan diunjur meningkat kepada RM343.1 bilion tahun depan berbanding RM334.1 bilion tahun ini.


Anwar berkata, kerajaan tidak akan mengenakan cukai tambahan bagi menampung perbelanjaan rakyat dan prasarana sebaliknya memperkukuh tatakelola, melaksanakan penyasaran subsidi dan memperhebat penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang ketirisan serta rasuah.


Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, langkah tegas agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan  kastam telah berjaya memulihkan hampir RM15.5 bilion hasil negara yang sebelum ini diseleweng.

"Belanjawan ini adalah saksi bahawa kerajaan memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional yang menyeluruh.


"Setelah berani mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.


Perdana Menteri berkata, defisit fiskal berjaya diturunkan secara konsisten – daripada 5.5 peratus pada 2022, 5.0 peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan dijangka 3.8 peratus tahun 2025.


Bagi tahun depan, kerajaan bertekad menurunkannya lagi kepada 3.5 peratus, ke arah mencapai sasaran 3 peratus dalam jangka sederhana, ujarnya dengan penuh keyakinan.


"Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu semakin terkawal — daripada RM100 bilion pada 2022 menurun kepada RM92 bilion (2023), RM77 bilion (2024) dan dijangka terus berkurang tahun ini," katanya.


Anwar menjelaskan kerajaan memperkukuh tatakelola, penyasaran subsidi dan penguatkuasaan undang-undang untuk mengurangkan kebocoran serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan.


"Apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, kerajaan tidak mengenakan cukai baharu, sebaliknya menambah baik tatakelola, memperketat kawalan subsidi dan memperkuat penguatkuasaan bagi mengekang penyelewengan serta kartel


"Bayangkan wang yang disakau dan dirompak kini berjaya dikembalikan kepada rakyat. Itulah makna sebenar tatakelola dan akauntabiliti," jelasnya.


Terdahulu di awal ucapannya Anwar menyatakan Belanjawan MADANI Keempat ini akan menjawab serta mencakup persoalan serta cabaran ekonomi semasa, selain menyusun dan merangka jalan bagi mengelak kebejatan dan keterlanjuran.


"Kita menolak budaya menumpuk hutang tanpa kawalan, kita melawan ketirisan dan kebobrokan, dan kita benci kemewahan kelompok elit yang dibayar dengan kesengsaraan rakyat.


"Sementelahan, kita memilih jalan yang berliku, sukar dan panjang, yakni jalan reformasi, disiplin fiskal yang tegas dan

pengukuhan institusi kerana hanya jalan itu sahaja dapat menjamin negara ini dapat diselamatkan dalam tempoh jangka panjang," kata Anwar.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page