top of page

Belanjawan 2027 perkukuh daya tahan rakyat hadapi ketidaktentuan global

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Oct 11
2 min read

Belanjawan Persekutuan 2027 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kesejahteraan rakyat, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan susulan ketegangan di Asia Barat.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata belanjawan berjumlah RM510 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat itu sebagai belanjawan paling signifikan dalam sejarah negara kerana mengimbangi tanggungjawab fiskal dengan keperluan menjaga kebajikan rakyat dengan usaha menangani tekanan kos sara hidup di samping memperkukuh daya tahan individu dan keluarga menghadapi cabaran ekonomi.


Menurutnya, peruntukan RM72.9 bilion bagi subsidi termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, serta peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), membuktikan kesungguhan kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos kehidupan.


"Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat terus dibantu dan tidak terjerumus ke dalam kemiskinan.


"Peruntukan RM47.7 bilion bagi sektor kesihatan dan RM69 bilion untuk pendidikan, masing-masing meningkat RM1.2 bilion dan RM2.8 bilion, pula akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat," katanya menerusi kenyataan.


Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut mengalu-alukan peningkatan kemudahan pinjaman dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada RM57 bilion bagi membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada sektor penting ekonomi negara itu.


Amirudin turut menyambut baik kenaikan gaji minimum nasional daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, selain pengenalan kerangka pendapatan baharu yang merangkumi gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan.


Mengulas pembangunan infrastruktur dan pendidikan, beliau menghargai peruntukan RM100 juta bagi memperluas Empangan Batu dan Klang Gates serta membangunkan kolam takungan bagi menangani masalah banjir kilat.


Beliau turut menyambut baik pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang serta kerjasama Kerajaan Negeri dengan Khazanah dalam membangunkan potensi industri semikonduktor bagi memperkukuh sektor pembuatan tempatan.


"Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat Selangor dan negara," katanya.


Naib Presiden KEADILAN itu turut yakin cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan, penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia serta komitmen mendedahkan maklumat projek dan perolehan kerajaan mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan sektor perniagaan terhadap tadbir urus negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page