top of page

Belanjawan 2027: Harap berita baik untuk Sabah, Sarawak - Mustapha

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
3 hours ago
1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berharap pembentangan Belanjawan 2027 hari ini bakal membawa berita baik untuk Sabah dan Sarawak, terutama dari aspek peruntukan pembangunan.


Beliau berkata, dana pembangunan bagi kedua-dua wilayah itu wajar dikekalkan atau ditingkatkan bagi memastikan keperluan infrastruktur asas di kedua-dua negeri terus dapat diberi perhatian.


"Memang insya-Allah kita mengharapkan ada berita baik untuk Sabah dan juga Sarawak.


"Seperti yang saya telah sebut sebelum ini, kita minta supaya dana pembangunan terutamanya sama ada kekal ataupun ditingkatkan," katanya dipetik laporan media.


Mustapha ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Mangsa Banjir di Kampung Rampayan, di Kota Kinabalu.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar sementara itu mengakui Sabah masih memerlukan dana pembangunan yang besar berikutan keperluan terhadap penambahbaikan infrastruktur asas.

"Jadi kita tidak mahu dana pembangunan ini dikurangkan sebab contoh di isu banjir makin kerap, dan juga isu jalan raya serta masalah air.


"Dan kita memang masih memerlukan dana pembangunan yang setaraf untuk kita menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dalam masyarakat," tambahnya.


Terdahulu, menerusi Belanjawan 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion, manakala Sarawak menerima RM6 bilion.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page