382 doktor gagal lapor diri di Sabah, Sarawak: KEADILAN desak rombak dasar pengambilan


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengkaji semula dasar pengambilan pelajar perubatan serta memperkukuh insentif penempatan bagi menangani kekurangan doktor di Sabah dan Sarawak.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata, kegagalan 382 daripada 1,055 pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan tetap di kedua-dua negeri itu melapor diri tahun ini, seperti dilaporkan CodeBlue pada 8 Oktober lalu, perlu ditangani secara menyeluruh.
Menurutnya, jumlah berkenaan mewakili kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan tawaran dan keadaan itu boleh menjejaskan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam, terutama hospital serta klinik yang sudah berdepan kekurangan tenaga kerja.
"Namun, isu ini tidak boleh dilihat sebagai kegagalan individu semata-mata. Kerajaan perlu menilai keseluruhan dasar pembangunan sumber manusia kesihatan, daripada pengambilan pelajar perubatan, latihan klinikal dan pelantikan pegawai perubatan, hinggalah penempatan, pengkhususan dan kemajuan kerjaya," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terus melahirkan graduan perubatan tanpa memastikan sistem kesihatan mampu menempatkan, menarik dan mengekalkan doktor di kawasan yang paling memerlukan.
Sehubungan itu, Roland menggesa kerajaan menetapkan sasaran pengambilan pelajar perubatan dari Sabah dan Sarawak berdasarkan unjuran keperluan doktor bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan jumlah pelajar dari kedua-dua negeri yang diterima masuk ke fakulti perubatan setiap tahun, kadar tamat pengajian serta kecukupan kuota, biasiswa dan bantuan kewangan kepada anak tempatan.
"Anak-anak Sabah dan Sarawak mesti diberikan peluang yang adil untuk mengikuti pengajian perubatan. Biasiswa, latihan dan pembangunan kerjaya pula perlu dirancang bagi menggalakkan lebih ramai doktor tempatan berkhidmat kepada masyarakat sendiri," katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa KKM mendedahkan data terperinci berhubung pegawai perubatan yang gagal melapor diri, termasuk alasan rasmi, penolakan tawaran, permohonan penangguhan, rayuan pertukaran dan kes yang tidak menerima sebarang maklum balas.
Menurutnya, maklumat berkenaan penting bagi mengenal pasti punca sebenar masalah, selain membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut syarat tawaran dan peraturan perkhidmatan yang berkuat kuasa.
"Saya menggesa KKM menerbitkan pecahan mengikut negeri, hospital, kategori penempatan dan sebab penolakan, tertakluk pada perlindungan maklumat peribadi," katanya.
Roland berkata, kerajaan juga perlu meneliti faktor yang menyebabkan pegawai perubatan tidak menerima atau melapor diri bagi penempatan di Sabah dan Sarawak, termasuk kos perpindahan, perumahan, elaun wilayah, beban kerja, kemudahan keluarga serta peluang pengkhususan dan kemajuan kerjaya.
Katanya, bagi penempatan di kawasan pedalaman, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan gaji, sebaliknya turut melibatkan kemudahan asas, keselamatan, sokongan klinikal dan peluang meningkatkan kepakaran.
"Kita tidak boleh mengharapkan doktor terus berkhidmat di kawasan mencabar tanpa sokongan yang sewajarnya," katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula struktur insentif dan kemudahan penempatan, khususnya bagi hospital serta klinik luar bandar dan pedalaman, termasuk bantuan perpindahan, perumahan dan tempoh penempatan yang jelas.
Mengulas cadangan Menteri Kesihatan mengenai kuota 30 peratus latihan kepakaran bagi pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, Roland berkata, pelaksanaannya perlu diperincikan menerusi kriteria pemilihan telus, sasaran tahunan dan mekanisme pemantauan.
Katanya, KKM juga perlu bekerjasama dengan universiti awam, hospital pengajar dan kerajaan negeri untuk memperluas latihan kepakaran serta membangunkan keupayaan klinikal di kedua-dua negeri.
"Kita bukan sekadar memerlukan lebih ramai doktor, tetapi lebih ramai pakar yang mampu memberikan rawatan lanjutan kepada rakyat di negeri sendiri," katanya.
Beliau berkata, pelan tindakan khusus perlu dibangunkan dengan penglibatan KPT, KKM, universiti awam, kerajaan negeri dan wakil profesional perubatan bagi menyelaraskan pengambilan pelajar, latihan, penempatan serta pembangunan kemudahan kesihatan.
Menurutnya, kekurangan doktor bukan sekadar angka dalam laporan kementerian kerana keadaan itu boleh menyebabkan pesakit menunggu lebih lama, petugas kesihatan menanggung beban kerja tambahan dan keluarga terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
"Ini persoalan keadilan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
"Tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman tidak seharusnya mengurangkan peluang seseorang menerima rawatan sewajarnya," katanya.
Roland menegaskan, penyelesaian jangka panjang tidak seharusnya terhad kepada penambahan tawaran jawatan atau tindakan terhadap pegawai yang gagal melapor diri, sebaliknya perlu merangkumi pembinaan ekosistem yang mampu melahirkan, melatih dan mengekalkan tenaga kerja perubatan.
Beliau menggesa KPT dan KKM memberikan penjelasan terbuka mengenai rancangan pengambilan pelajar perubatan dari Sabah dan Sarawak, tindakan terhadap pegawai yang tidak melapor diri serta langkah konkrit menangani kekurangan doktor di kedua-dua negeri.




Comments