top of page

Pampasan, diyat kepada waris mangsa kemalangan maut bertepatan hukum Islam

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
1 day ago
2 min read
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Cadangan Kerajaan MADANI memperketatkan hukuman terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, termasuk memberi kuasa kepada mahkamah memerintahkan pampasan kepada mangsa atau waris, perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh keadilan kepada rakyat.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, selama ini apabila berlaku kemalangan maut akibat kecuaian pemandu, perhatian sering tertumpu kepada hukuman terhadap pesalah, sedangkan nasib keluarga yang kehilangan ibu, bapa, suami, isteri atau anak turut perlu diberi perhatian.


Beliau berkata, hukuman terhadap pesalah sememangnya penting, namun pembelaan terhadap mangsa dan waris juga perlu menjadi sebahagian daripada sistem keadilan.


Katanya, cadangan supaya mahkamah mempunyai kuasa memerintahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris membawa dimensi baharu dalam sistem keadilan negara.


"Dari sudut prinsip, konsep pampasan kepada mangsa juga mempunyai persamaan dengan prinsip diyat dalam Islam, yang memberikan perhatian kepada hak mangsa dan waris dalam keadaan tertentu.


"Justeru, agak menghairankan apabila ada pihak yang cuba menjadikan cadangan ini sebagai isu politik kepartian," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Mohammad Fitri Ismail
Mohammad Fitri Ismail

Beliau diminta mengulas usaha Kerajaan MADANI memperkenalkan hukuman lebih keras terhadap pemandu mabuk serta mekanisme pampasan kepada mangsa yang belum pernah dicadangkan oleh kerajaan terdahulu.


Dalam pada itu, Fitri juga mempersoalkan mengapakah Pas yang pernah menjadi Kerajaan Perskutuan selama 33 bulan (2020 - 2022) tidak terfikir untuk meminda undang undang bersesuaian dengan prinsip Islam yang mengutamakan ganti rugi kepada pihak yang merugikan orang lain.


"Persoalannya, ketika Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan, apakah usaha atau cadangan yang telah dibawa untuk memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa seperti yang sedang diusahakan hari ini?


"Jika ada, kemukakan rekodnya kepada rakyat. Jika belum, tidak salah untuk mengakui bahawa kerajaan hari ini membawa pendekatan yang boleh diperbaiki dan diperkukuh bersama," hari ini.


Kelmarin, kerajaan memaklumkan bahawa pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan maut atau kecederaan parah mungkin berdepan satu lagi bentuk hukuman apabila kerajaan bersetuju memasukkan mekanisme pampasan kepada mangsa dan waris dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mekanisme itu akan menjadi tambahan kepada hukuman jenayah sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu.


Menurut Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, langkah tersebut bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja menerima hukuman atas kesalahan dilakukan, malah turut memikul tanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung mangsa atau keluarga akibat perbuatan mereka.


Mengulas lanjut, Fitri berpendapat isu berkenaan tidak sepatutnya dijadikan pertandingan mengenai ‘siapa paling Islam’, paling progresif atau paling awal mengemukakan cadangan.


Ujarnya, beliau yang juga Ketua AMK Merbok berkata, sekiranya sesuatu dasar itu mampu menyelamatkan nyawa dan membantu keluarga mangsa, ia wajar disokong, manakala sebarang kelemahan perlu ditegur dan ditambah baik.


"Inilah pendekatan politik yang matang. Kerajaan MADANI perlu memastikan pindaan undang-undang ini dilaksanakan dengan teliti, adil dan tidak bersifat simbolik semata-mata.


"Mekanisme pampasan mestilah jelas, munasabah dan mengambil kira keadaan sebenar mangsa serta waris.


"Pada masa sama, hukuman terhadap pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kematian perlu memberikan mesej jelas bahawa kecuaian di jalan raya boleh membawa akibat yang serius.


"Keadilan bukan hanya tentang menghukum pesalah, tetapi turut memastikan mangsa dan keluarganya mendapat pembelaan," katanya lagi.


Untuk rekod, dalam hukum Islam, diyat atau bayaran pampasan dikenakan bagi kesalahan tertentu yang melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan tubuh badan, tertakluk pada jenis kesalahan dan ketentuan hukum berkaitan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page