Bekalan makanan asas negara stabil walaupun berdepan konflik Asia Barat


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan bekalan makanan keperluan asas negara terutama beras dan ikan berada kekal pada tahap stabil meskipun berdepan ketegangan geopolitik Asia Barat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat 30 September lalu, bekalan stok fizikal beras negara berjumlah 1,193,478 tan metrik dan mampu menampung keperluan untuk tempoh enam bulan.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 200,000 tan metrik merupakan stok penimbal beras negara manakala 993,478 tan metrik lagi adalah stok dagangan.
"Bagi bekalan ikan, simpanan stok di bawah seliaan persatuan nelayan direkodkan 247.98 tan metrik setakat 31 Ogos manakala stok pemain industri berjumlah 9,690 tan metrik. Secara keseluruhan, bekalan daripada stok simpanan ikan dianggarkan 10,000 tan metrik.
"Kadar permintaan harian ikan pula sekitar 41.66 tan metrik berdasarkan permintaan bulanan 1,250 tan metrik, stok simpanan ikan dianggarkan mampu menampung keperluan tempatan sehingga 240 hari," katanya dipetik di Dewan Rakyat sebagai bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, ketika mengulas ketegangan di Asia Barat beliau memaklumkan ia telah memberi kesan terhadap kos input pertanian dengan harga baja fosfat meningkat 28.15 peratus kepada AS$793.5 setiap tan metrik setakat 31 Ogos berbanding AS$626.50 setiap tan metrik pada Februari.
Ketegangan turut menyebabkan kos penggunaan mesin pengeluaran turut meningkat susulan kos bahan api yang tidak terkawal terutama dalam sektor perikanan Zon C, manakala inflasi makanan domestik meningkat daripada 1.4 peratus pada Jun kepada 1.8 peratus pada Julai dan 1.9 peratus pada Ogos.
Bagi mengurangkan tekanan kos, kerajaan memberikan pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi baja pertanian seperti Rock Phosphate dan Magnesium Sulphate mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, selain menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 yang memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi.
"Kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan mulai April 2026. Inisiatif ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan krisis ini," katanya.
Dalam pada itu Mohamad turut memaklumkan, kerajaan MADANI sedang merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara bagi menjamin kesinambungan bekalan, kestabilan harga, mengurangkan kebergantungan import serta memastikan akses kepada makanan sihat dan berkhasiat.




Comments