top of page

Bebas berdagang dengan AS, China: Di mana kedaulatan negara tergadai?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

DS Anwar mahu semua meneliti Perjanjian ART yang tidak merugikan negara sebelum membuat kenyataan
DS Anwar mahu semua meneliti Perjanjian ART yang tidak merugikan negara sebelum membuat kenyataan

Pembangkang dan pengkritik yang mendakwa kedaulatan negara tergadai selepas Malaysia menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) dicabar untuk membuktikan negara mengalami kerugian akibat pemeteraian itu.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada syarat dalam ART yang mengikat Malaysia atau menghalang negara ini berdagang dengan seteru AS sebagaimana didakwa.


Hal itu dibuktikan, katanya, apabila pada hari Isnin Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia menandatangani perjanjian dagang dengan China, selepas menandatangani ART pada Ahad.


Tegas Anwar, sekiranya benar dakwaan pengkritik kononnya mineral unsur nadir bumi (REE) Malaysia dimonopoli oleh AS tentu sekali China tidak akan menandatangani perjanjian.


"Isnin pagi, Primier China Li Qiang (urusan perjanjian dagang China-Malaysia). Tentunya apa apa yang dilakukan dengan AS diteliti baris demi baris oleh China. Kalau ada yang ditafsirkan oleh ahli pembangkang (terikat dengan AS), dia (perjanjian) akan menjejaskan hubungan kita dengan China.


"Kalau REE dikatakan monopoli AS, ia tidak boleh dengan China (perjanjian lain). Benda itu tidak berlaku. Jadi kita ini lebih Hamas daripada Hamas, lebih China dari China, ini masalah kita. Politik yang menanam sikap benci begtu sahaja," bidas Anwar dalam sesi Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pagi tadi.


Oleh itu PM mahu semua pihak meneliti terlebih dahulu perjanjian ART sebelum membuat kenyataan.


Begitu juga dengan isu pembelian pesawat Boeing dari AS bernilai RM1trilion, pembelian alat ganti oleh Google dan Microsoft Malaysia yang disenaraikan dalam perkara rundingan tarif Malaysia - AS yang melibatkan swasta, tetapi dipersalahkan kepada kerajaan.


Anwar turut menempelak pihak yang mempersoal Malaysia mengimport gas asli cecair (LNG). Katanya, hal itu adalah urusan perdagangan Petronas. Terdapat keperluan mengimport dan menjual semula ke negara ketiga dengan margin keuntungan tertentu, dan itu adalah urusan dagangan Petronas, bukannya kerajaan.


"Ada satu kejayaan besar pelaburan carigali Petronas di Kanada yang dikutuk dulu konon kita jual. Tetapi tidak berlaku begitu dan sekarang berhasil.


"Kehadiran PM Kanada itu (ke sidang ASEAN) antara lain untuk menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana Petronas berjaya di Kanada.


"Kita punya keupayaan untuk eksport (LNG) kepada mana mana negara. Margin keuntungan itu besar, maka kita import dengan margin kecil (sebelum jual semula), apa masalahnya," katanya.


Dalam pada itu, PM juga memberi penyelesaian kepada masalah tarif AS yang mana mungkin sesetengah produk Malaysia tidak kompetitif lagi berbanding dahulu di pasaran AS.


Perkara itu kata PM, boleh diatasi dengan penglibatan Malaysia bersama negara Selatan Global dan BRICS yang diwakili Afrika Selatan dan Brazil, dan kedua dua presiden negara terbabit hadir dalam sidang ASEAN.


"Sekarang kita buka jaringan kepada Brazil dan Afrika supaya tidak bergantung kepada mana mana negara. Peranan utama kita, apa pun masalah mesti pertahan kepentingan negara dan rakyat," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page