BBC minta pelan pelarasan dibentang, pastikan bajet kesihatan tidak terjejas
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menggesa kerajaan membentangkan pelan mitigasi yang jelas, konklusif dan menyeluruh bagi memastikan sebarang pelarasan peruntukan tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara.
Pengerusinya Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum kegusaran awam berhubung cadangan penstrukturan belanjawan negara, khususnya melibatkan sektor kesihatan yang dianggarkan mencecah RM3 bilion.
"Walaupun memahami keperluan pengukuhan fiskal dalam suasana ekonomi semasa, satu pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh perlu dibentangkan kepada rakyat supaya kualiti perkhidmatan kesihatan tidak terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaliha yang juga mantan Menteri Kesihatan menegaskan, bagi memastikan kelestarian sistem kesihatan negara dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan inisiatif tunjang yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan perlu dipercepatkan.
Menurutnya, anjakan paradigma daripada sistem berorientasikan rawatan kepada pendekatan penjagaan kesihatan menyeluruh berteraskan kesejahteraan rakyat juga perlu dilaksanakan segera.
Dalam masa sama, BBC mencadangkan agar pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT)disegerakan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan, kata Zaliha.
Selain itu, jelas beliau kerajaan disaran menangguhkan sementara pembinaan hospital baharu dan memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf fasiliti sedia ada, termasuk memastikan kelengkapan serta peralatan perubatan mencukupi.
"Kerajaan juga dicadangkan memperkukuh sokongan terhadap pembangunan kapasiti pengeluaran ubat-ubatan dan peranti perubatan tempatan bagi menjamin sekuriti bekalan kesihatan negara dalam jangka panjang," katanya.
BBC menegaskan agenda membaik pulih klinik kesihatan daif perlu terus menjadi keutamaan nasional dengan cadangan supaya fasiliti penjagaan primer dinaik taraf sekurang-kurangnya kepada kapasiti Klinik Kesihatan Jenis 4 bagi mengurangkan kesesakan hospital awam.
"Kelangsungan Skim Perubatan MADANI juga perlu diteruskan kerana terbukti membantu mengurangkan kebergantungan pesakit kes ringan terhadap hospital kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, BBC mengingatkan kebajikan barisan hadapan kesihatan mesti kekal sebagai keutamaan dalam sebarang penstrukturan belanjawan bagi mengelakkan peningkatan beban tugas, kelesuan melampau serta penghijrahan tenaga pakar ke sektor swasta.
"Sebagai rakan strategik kerajaan, BBC akan terus memainkan peranan semak dan imbang yang konstruktif bagi memastikan setiap pelaksanaan dasar kewangan negara sentiasa berpaksikan nilai ihsan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian sistem perkhidmatan awam," kata beliau.
Terdahulu, laporan Reuters memetik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican sebagai berkata kementerian dan agensi diminta mengurangkan perbelanjaan mengurus susulan lonjakan kos subsidi akibat konflik di Asia Barat.
Langkah itu dilaporkan bertujuan mencapai penjimatan sehingga RM10 bilion termasuk cadangan pengurangan RM3.06 bilion daripada bajet Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menegaskan pelarasan tersebut hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal manakala perbelanjaan teras termasuk kesihatan, pendidikan dan keselamatan akan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.




Comments