Batal Hari Peneroka Felda Johor: “Lebih baik tanya Pengerusi Felda dan TPM” - AMK Tenggara
- Hasbul Ahmad

- 6 hours ago
- 2 min read

Persoalan mengenai pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda Johor sepatutnya dirujuk terus kepada pihak pengurusan Felda, khususnya Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum sebarang tuduhan atau andaian dibuat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tenggara, Shaddiq Zabidie berkata, persoalan pembatalan program berkenaan lebih banyak dikaitkan dengan kerajaan pusat, sedangkan Felda mempunyai struktur pengurusan dan kepimpinan sendiri yang bertanggungjawab menentukan perancangan serta pelaksanaan program membabitkan warga peneroka.
"Kalau ada persoalan kenapa Hari Peneroka Felda Johor dibatalkan, pihak pertama yang wajar ditanya ialah Pengerusi Felda sendiri. Beliau berada dalam kedudukan untuk menjelaskan rasional dan keputusan yang dibuat.
"Kena tanya isu pembatalan Hari Peneroka Felda Johor terus kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebab Felda duduk bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)," kata Shaddiq kepada Suara Keadilan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Johor mempersoalkan siapakah pihak yang mengarahkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 pada 20 hingga 21 Jun ini dibatalkan.
Kerajaan Johor dilaporkan memaklumkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong tidak dapat diteruskan selepas pihak FELDA Johor diarahkan untuk membatalkan penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip dipetik berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai arahan tersebut walaupun program berkenaan hanya berbaki empat hari sebelum tarikh penganjuran.
Dalam pada itu, Shaddiq berkata pembatalan sambutan Hari Peneroka Felda juga tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan kerana keputusan berhubung penganjuran program tersebut berada di bawah bidang kuasa pengurusan Felda sendiri.
"Kalau ada cubaan nak kaitkan keputusan itu dengan campur tangan Pakatan Harapan, khususnya KEADILAN, itu tak berasas. Felda mempunyai mekanisme pentadbiran tersendiri," kata Shaddiq yang juga generasi ketiga Felda di Kota Tinggi.
Tambah beliau, usaha menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan hanya mengelirukan peneroka yang mahu mengetahui perkara sebenar.
Justeru, penjelasan secara rasmi daripada kepimpinan Felda dilihat penting bagi memastikan sebarang kekeliruan berkaitan pembatalan sambutan itu dapat dirungkai berdasarkan fakta dan bukannya persepsi politik.
"Penjelasan mengenai faktor sebenar pembatalan perlu datang daripada pihak pengurusan Felda agar perkara itu tidak terus dimanipulasi sebagai isu politik," katanya lagi.




Comments