'Bantuan udara' Palestin ragut nyawa, maruah, buka lintasan darat - MAPIM
- Suara Keadilan

- Aug 7
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras penggunaan kaedah 'airdrop' oleh negara-negara luar sebagai medium penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menyifatkannya sebagai langkah yang bukan sahaja gagal tetapi juga meragut nyawa dan maruah rakyat Palestin.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata langkah menjatuhkan bantuan dari udara adalah tindakan sia-sia yang hanya memberi ilusi bantuan sedang disalurkan, sedangkan realitinya rakyat Gaza terus mati kelaparan dan dibelenggu penderitaan akibat sekatan yang berpanjangan.
Menurutnya, airdrop telah menyebabkan insiden tragis seperti kematian dan kecederaan dalam kalangan penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak akibat kejatuhan pakej bantuan serta rempuhan ketika berebut bekalan.
"Israel sedang memperalatkan bantuan kemanusiaan sebagai senjata politik. Airdrop dijadikan helah untuk menutup jenayah sebenar iaitu sekatan zalim terhadap Gaza.

"Dunia tidak boleh bersekongkol dalam gimik ini yang pada hakikatnya menggadaikan nyawa rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata khemah pelarian turut musnah manakala suasana kekacauan semakin meruncing akibat kebanjiran bantuan yang tidak terkawal.
Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai satu pengalihan tumpuan yang disengajakan daripada penyelesaian sebenar iaitu pembukaan lintasan darat yang membolehkan bantuan berskala besar masuk ke wilayah berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata MAPIM menyokong penuh terhadap kenyataan rasmi Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Nasional Palestin yang memperincikan kesan buruk akibat airdrop, termasuk kehilangan nyawa dan keruntuhan sistem sosial di Gaza.
Azmi turut menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan yang sebenar hanya boleh dicapai sekiranya semua lintasan ke Gaza termasuk Rafah dibuka serta-merta dan tanpa syarat.
Beliau turut menggesa supaya koridor kemanusiaan antarabangsa diwujudkan melalui darat dan laut dengan pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta penempatan pasukan perlindungan antarabangsa bagi menjamin keselamatan konvoi bantuan dan infrastruktur awam.
Dalam konteks ini, beliau menyeru negara-negara anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan semua badan antarabangsa agar tidak terus berdiam diri terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Sejak Oktober 2023, wilayah Gaza terus dibedil dan dikepung oleh rejim Israel. Lebih 36,000 nyawa telah terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Hospital, sekolah dan loji bekalan air musnah, manakala lebih 80 peratus penduduk kini hidup sebagai pelarian di tanah air sendiri.
Bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan tersekat di sempadan kerana lintasan ditutup sepenuhnya oleh Israel.
Dalam keadaan ini, MAPIM menegaskan bahawa menjatuhkan bantuan dari udara tidak lebih daripada satu tindakan simbolik yang gagal menangani akar permasalahan.
"Apa yang berlaku hari ini adalah manifestasi kezaliman yang dibiarkan berterusan. Rakyat Gaza tidak perlukan simpati dari langit. Mereka perlukan keadilan, perlindungan dan kebebasan untuk hidup.
"Airdrop bukan penyelesaian, [sebaliknya] ia hanya mengalihkan pandangan dunia daripada kegagalan kita yang sebenar," tegas Mohd Azmi lagi.









Comments