top of page

Bantuan tunai Budi Madani Diesel RM300 disalurkan hari ini - MOF

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 8
  • 1 min read

Ketika dunia masih berdepan tekanan krisis tenaga, kerajaan memilih untuk melindungi rakyat melalui penyaluran Bantuan Tunai BUDI MADANI Diesel, demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF).


Kementerian dalam kenyataan berkata bantuan tunai sebanyak RM300 itu disalurkan mulai hari ini, 8 April termasuk bantuan tambahan RM100 secara interim melibatkan permohonan dari 1 hingga 31 Mac lalu.


"Bantuan tambahan RM100 diteruskan bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan harga diesel susulan krisis tenaga global.


"Bantuan ini bersifat sementara dan akan dinilai setiap bulan selaras dengan perkembangan semasa pasaran tenaga global serta kedudukan fiskal negara," kata kementerian dalam infografik dimuat naik di Facebook.


Dalam pada itu, berdasarkan jadual yang dikongsi, kementerian berkata tarikh pembayaran seterusnya adalah pada 8 Mei, 9 Jun dan 8 Julai.


Mengikut data kerajaan, jumlah pengguna diesel di Semenanjung Malaysia dianggarkan sekitar 1.4 juta kenderaan, namun hanya kira-kira 700,000 layak menerima subsidi bersasar.


Bantuan terus Budi Madani RM200 sebulan dinikmati pengguna diesel yang layak (individu, petani, pekebun kecil) melibatkan kira-kira 300,000 pengguna individu sektor agri dan komersial dengan tambahan bantuan interim RM100 diberikan susulan krisis tenaga global.


Menurut Kementerian Kewangan, perbelanjaan subsidi diesel meningkat kepada RM14.3 bilion pada 2023 sebelum menurun kepada RM6.2 bilion pada 2025 selepas pelaksanaan subsidi bersasar.


Namun akibat krisis tenaga global, keperluan subsidi diesel kembali meningkat dengan anggaran mencecah RM2.2 bilion sebulan bagi sektor tertentu manakala keseluruhan subsidi bahan api boleh melonjak sehingga RM6 bilion sebulan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page