Bantuan segera disalurkan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia
- Azuan Ab Rahman
- 10 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan secepat mungkin kepada semua mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, kebakaran besar itu yang memusnahkan 1,000 rumah merupakan satu tragedi kemanusiaan yang mendukacitakan seluruh negara.
"Insiden ini bukan sekadar kebakaran, ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang telah memusnahkan hampir 1,000 buah rumah dan menjejaskan ribuan penduduk dalam sekelip mata.
"Bayangkan, dalam satu malam ada anak-anak yang kehilangan tempat berteduh, ibu bapa yang kehilangan segala harta benda, dan keluarga yang kini tinggal sehelai sepinggang dengan hanya pakaian di badan, " katanya dalam kenyataan.
Menurut Mustapha, susulan kejadian, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan telah digerakkan dengan segera ke lokasi berkenaan bagi membantu proses menyelamat, pemindahan mangsa, pendaftaran, serta penyediaan bantuan awal di pusat penempatan sementara (PPS).
Sambil memberi jaminan mangsa yang terbabit tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi saat sukar itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah untuk terus bersatu hati menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesejahteraan mangsa.
"Dalam saat sebegini, kita tidak boleh biarkan mangsa menghadapi ujian ini sendirian. Insya-Allah, daripada abu ini, kita akan bangkit semula," katanya.
