Bantuan pesawah lambat: Lebih RM27 juta telah dibayar - Menteri
- Akmal Manaf

- Apr 16
- 2 min read

Cubaan pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi kononnya kerajaan terlalu lewat atau gagal menyalurkan bantuan kepada golongan pesawah dinafikan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menegaskan, bantuan telah dibayar, sedang dibayar manakala baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan.
"Bang Mat nak jelaskan perkara sebenar supaya rakyat mendapat gambaran yang tepat, bukan berdasarkan cerita dari mulut ke mulut atau dakwaan yang tular di media sosial tanpa semakan.
"Kerajaan MADANI telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025, dan semalam Kerajaan mengumumkan kenaikan lagi nilai bantuan kepada RM300 sehektar.
"Bagi musim 1/2025, bayaran IPKP telah selesai sepenuhnya melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung.
"Bagi musim 2/2025, setakat semalam lebih RM27 juta telah dibayar, manakala kira-kira 30% baki tuntutan sedang dalam proses dan akan diselesaikan tak lama lagi.
"Untuk yang belum tahu, kaedah bayaran IPKP ialah 'buat dulu, baru tuntut'. Ia tidak sama seperti bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima," jelas Mohamad menerusi satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, kaedah bayaran itu digunakan kerana dalam setiap musim, terdapat pesawah yang menanam dan ada yang tidak melakukan penanaman.
Ujarnya, ada pesawah yang mengusahakan 10 hektar pada musim ini dan ada yang menanam padi hanya dengan 8 hektar pada musim berikutnya.
Oleh itu kata Mohamad, tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan agar wang rakyat diurus secara telus dan tepat.
"Perlu juga faham bahawa musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam.
"Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai.
"Jadi bayaran tidak boleh dibuat serentak kepada semua negeri pada masa yang sama.
"Selepas tuntutan dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan atau pesawah, pegawai akan turun ke lapangan untuk membuat pengesahan. Jika dokumen lengkap dan tuntutan disahkan, bayaran akan diproses," katanya lagi.
Selain IPKP, Mohamad berkata, Kerajaan MADANI juga telah memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun 2025, iaitu bantuan baharu yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini. Proses pembayaran IPP juga menggunakan kaedah tuntutan yang sama.
"Dengan penjelasan ini, Bang Mat harap rakyat dapat membezakan antara proses pengurusan bayaran dengan dakwaan palsu kononnya kerajaan tidak membayar langsung.
"Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar, dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan.
"Kepada pihak yang suka mencari populariti dengan menunggang keresahan pesawah, Bang Mat yakin majoriti rakyat hari ni sudah bijak menilai, siapa yang buat kerja, dan siapa yang hanya main politik.
"Bagi Kerajaan MADANI, kita akan terus bekerja, tambah bantuan, baiki sistem, dan pastikan kebajikan pesawah terus terbela," ujar beliau yang juga Presiden AMANAH.




Comments