Bantuan 'one-off' RM1,000 kepada pemandu teksi bukti kerajaan prihatin


Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyambut baik pengumuman bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa seperti diumumkan pada Belanjawan 2027.
Pengerusinya, Kamarudin Mohd Hussain (gambar) berkata, bantuan tersebut merupakan tanda pengiktirafan Kerajaan MADANI terhadap golongan pemandu teksi.
Ia sekaligus menafikan tohmahan yang mendakwa golongan itu tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
"Saya mewakili GTSM ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Kamil Munim dan Datuk Farhan Fauzi yang perhati pada nasib pemandu teksi.
"Seperti saya bangkitkan pada sesi libat urus Belanjawan di kementerian sebelum ini, diharap bantuan ini dapat meringankan dan menambah lagi semangat pemandu teksi," katanya di platform Tik Tok, semalam.
Anwar ketika pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat semalam berkata, bantuan khas tersebut merupakan sebahagian hasil dipulangkan kepada rakyat menerusi penjualan nombor pendaftaran khas H.
Selain pemandu teksi, kira-kira 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara turut bakal menerima bantuan sama.
Sementara itu, Kamarudin menyifatkan belanjawan diumumkan sebagai menyeluruh sekaligus membuktikan komitmen kerajaan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menikmati pembangunan negara.
"Alhamdulillah, pengumuman kali ini sangat positif.. saya anggap sangat menyeluruh kepada rakyat Malaysia.
"Berbeza kerajaan terdahulu, Kerajaan MADANI salurkan bantuan kepada rakyat tanpa ambil dari poket rakyat. Perdana Menteri terdahulu beri juga bantuan kepada pemandu teksi tetapi guna hasil GST yang diambil daripada rakyat," menurutnya.




Comments