Bantu kesejahteraan psikologi penjawat awam: KKM tawar bantuan


Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk menggembleng kepakaran pakar kesihatan mental bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangani cabaran kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, kementeriannya bakal menyediakan kepakaran teknikal dan sokongan pakar bagi membantu JPA membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam dan Indeks Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam.
"Kita rasa terpanggil untuk berbuat demikian kerana KKM adalah peneraju sektor kesihatan. Seperti yang kita tahu, tiada kesihatan fizikal tanpa kesihatan mental," katanya dipetik pada majlis sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia peringkat kebangsaan di Kolej Poly-Tech MARA, Ipoh, pada Isnin.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilapor sedang giat memperkukuh kesejahteraan psikologi penjawat awam secara menyeluruh.
Langkah ini diambil susulan dapatan Sistem Profil Kesihatan Psikologi Digital Penjawat Awam (MyPsyD) yang mendedahkan seramai 55,169 penjawat awam dikategorikan sebagai pegawai berisiko tinggi dan mempunyai kecenderungan membunuh diri.
Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, antara sokongan yang boleh diberikan pihaknya termasuk input teknikal dan pandangan pakar khususnya dalam aspek pengurusan kesihatan mental.
"Walaupun kita sudah ada garis panduan, tetapi jika JPA mahu membangunkan sendiri garis panduan bagi menangani mereka yang terkesan atau berdepan cabaran kesihatan mental, kita bersedia membantu membangunkan indeks serta garis panduan itu.
"Kesihatan mental perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kesihatan keseluruhan dan ditangani menerusi usaha bersepadu membabitkan agensi berkaitan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly turut menegaskan komitmen kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh usaha menangani pelajar yang terkesan dengan kes buli bagi mencegah risiko lebih buruk termasuk bunuh diri.
Kerjasama itu meliputi pelbagai aspek termasuk kesedaran, literasi kesihatan mental, pengesanan awal, rujukan serta intervensi terhadap pelajar yang terkesan.




Comments