Bantah Kehadiran Trump: Tunjuk Kematangan, Berdiri Bersama PMX
- Suara Keadilan

- Oct 5
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Pelbagai pihak telah bersuara berkenaan isu kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober.
Yang setuju tampil dengan hujah-hujah setuju mereka, manakala yang tidak setuju berhujah dengan hujah-hujah tidak setuju.
Yang berkecuali pula hanya mendiamkan diri dan konsisten menjawab `no komen’.
Dalam dunia demokrasi, semua orang berhak memberi pendapat dan pandangan, tetapi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga berhak mempertahankan keputusannya.
Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri sudah tentu terkesan dengan pelbagai pandangan yang dilontarkan itu serta memperhaluskan dengan cara bijaksana.
Namun, apa yang semua orang harus sedar ialah jemputan kepada Trump itu sudah lama dilakukan, sebelum pun berlakunya penahanan sukarelawan Global Sumud Florila oleh tentera Israel lagi.
Jemputan atas kapasiti Kepengerusian ASEAN
Jemputan itu dilakukan atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bukan jemputan untuk Trump melawat Malaysia secara rasmi.
Hanya kebetulan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 diadakan di Kuala Lumpur, maka itulah sebabnya Trump datang ke Malaysia.

Jemputan ke atas Trump pula adalah berkaitan isu-isu perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN.
Dengan itu, manfaat kehadiran dan mengadakan perbincangan dengan Trump adalah untuk kepentingan ekonomi negara-negara ASEAN, dan Malaysia sekaligus akan turut mendapat maafaatnya.
Sebab itu, membatalkan jemputan ke atas Trump adalah sesuatu yang merugikan daripada segi ekonomi serantau.
Perlu diingat kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN adalah atas kapasiti beliau sebagai ketua negara rakan dialog ASEAN bukannya jemputan dua hala oleh Malaysia.
Malaysia bertanggungjawab menjemput semua ketua negara anggota ASEAN dan rakan dialog ke sidang kemuncak berkenaan.
Peroleh manfaat ekonomi
Pastinya dalam perbincangan secara langsung dengan Trump, ada beberapa manfaat ekonomi dan penurunan tarif dapat diperolehi.
Di sini, kita harus berlapang dada dan tahu membezakan antara kepentingan ekonomi dan pergolakan yang sedang berlaku di Gaza.
Menjemput dan membenarkan Trump datang tidak pula bermakna perjuangan dan solidariti Malaysia terhadap Palestin akan jadi kendur atau terhapus.
Malaysia akan terus konsisten berjuang bersama dan bersolidariti dengan Palestin.
Jangan persiakan peluang bertemu langsung Trump
Seperti yang dipertegaskan oleh PMX, sidang kemuncak itu akan menyediakan platform untuk membangkitkan isu Palestin.
Bahkan, dengan dapat bertentang mata dengan Trump, inilah kesempatan terbaik untuk Malaysia dan Anwar selaku Pengerusi ASEAN menyampaikan bantahan dan kutukan secara langsung terhadap keganasan Israel. Jangan dipersia-siakan peluang ini.
Soal sama ada Trump mahu mendengar atau tidak, itu adalah soal kedua.
Yang penting, suara bantahan Malaysia dapat dimasukan terus ke telinga Trump tanpa tapisan daripada pelbagai agensi berita.
Peluang ini tidak harus dilepaskan dan ia hanya dilakukan jika jemputan ke atas Trump tidak dibatalkan.
Memang desakan terhadap Anwar agar membatalkan kehadiran Trump makin kuat kebelakangan ini, tetapi fikirkanlah kerugian manfaat daripada tindakan itu.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang matang dan boleh berfikir seharusnya sentiasa berdiri bersama-sama Perdana Menteri memikirkan kepentingan yang lebih besar untuk negara.









Comments