Banjir besar di Ulu Sungai Belaga, penebangan hutan jadi punca?
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kawasan Ulu Sungai Belaga di Sarawak kini dilanda banjir besar yang menenggelamkan banyak kebun penduduk serta menjejaskan kehidupan masyarakat tempatan secara serius dengan penduduk mendakwa ia berpunca daripada aktiviti penebangan hutan.
Menurut penduduk di Long Urun, Belaga, fenomena itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Namun, sejak aktiviti penebangan hutan secara besar-besaran oleh syarikat perladangan bermula pada 2023, kesan alam sekitar semakin ketara dan berlaku lebih pantas daripada jangkaan.
Senator Abun Sui Anyit berkata, kawasan hutan yang ditebang itu merupakan tanah adat NCR (Native Customary Rights) yang dipertahankan oleh penduduk daripada diceroboh untuk penanaman kelapa sawit.
"Tindakan rakus ini telah mengorbankan ekosistem, menyebabkan hakisan tanah, dan kini membawa bencana banjir yang merugikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang menyeru pihak berkuasa agar segera menghentikan semua aktiviti penebangan hutan dan peneresan tanah di kawasan berkenaan.

"Jika tidak dikawal segera, kesan buruk terhadap alam sekitar dan kehidupan masyarakat akan menjadi lebih parah. Kekerapan banjir besar begini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian malah mengancam ekonomi penduduk yang bergantung kepada alam sekitar yang subur dan cantik," katanya yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak.









Comments