top of page

Tubuh Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan di peringkat akhir - Menteri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan Persekutuan kini berada di peringkat akhir persiapan untuk menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM), satu langkah yang dilihat bertujuan memperkukuh penyelarasan dan profesionalisme sistem pendakwaan syariah di seluruh negara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan memorandum Jemaah Menteri sedang disediakan bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum cadangan itu dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya ke Majlis Raja-Raja.


Menurut beliau, penubuhan JPSM tidak bertujuan mengambil alih atau menghakis kuasa negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya berfungsi sebagai badan penyelaras dan rujukan di peringkat nasional.


"JPSM dicadangkan bagi memastikan keseragaman amalan pendakwaan syariah, termasuk aspek perundangan jenayah syariah, latihan, kompetensi serta profesionalisme pegawai pendakwa, tanpa menjejaskan autonomi negeri," katanya dipetik ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.


Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN) yang meminta penjelasan mengenai status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) serta kesediaan kerajaan menggubal akta khusus bagi memastikan kebebasan institusi pendakwaan syariah setara dengan kedudukan Jabatan Peguam Negara.


Zulkifli berkata mesyuarat teknikal akan diadakan dalam masa terdekat membabitkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri bagi memperincikan aspek pelaksanaan termasuk struktur, sumber manusia dan implikasi kewangan.


Mengulas lanjut, beliau menjelaskan hampir semua negeri kecuali Sabah telah memisahkan sepenuhnya fungsi pendakwaan syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri, satu perkembangan yang dianggap selari dengan prinsip kebebasan institusi pendakwaan.


Tambahnya beberapa sesi libat urus termasuk persidangan meja bulat telah diadakan bersama jabatan pendakwaan syariah negeri, pihak berkuasa agama negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan cadangan penubuhan JPSM.


Mengenai isu tunggakan kes syariah, beliau berkata prestasi Mahkamah Syariah menunjukkan peningkatan ketara, khususnya di Wilayah Persekutuan, dengan kadar penyelesaian kes yang semakin baik.


"Bagi tempoh 2019 hingga 2025, lebih 9,000 kes keluarga Islam dan ratusan kes jenayah syariah direkodkan, dengan banyak daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh lebih singkat," katanya.


Menurut beliau, antara peranan utama JPSM adalah pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, penyelarasan tatacara pendakwaan serta penggubalan arahan amalan Ketua Pendakwa Syarie bagi menangani isu kelewatan dan ‘backlog’ kes.


Kepada soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Isam Mohd Isa (BN), Zulkifli berkata secara prinsipnya majoriti kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan terhadap penubuhan JPSM, namun menekankan keperluan perincian pelaksanaan agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.


"Kerajaan komited memastikan penubuhan JPSM dilaksanakan secara inklusif, menghormati peranan negeri serta menjamin kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi pendakwaan syariah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page