Selangor setuju syor PM batal ternak babi di Bukit Tagar, cari lokasi alternatif
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara cadangan projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar bagi membolehkan isu tersebut ditangani secara lebih berhemah, teratur dan inklusif.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri tidak akan mendedahkan sebarang lokasi atau cadangan alternatif buat masa ini kerana tiada keputusan muktamad dibuat.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu perlu mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta proses yang lebih menyeluruh.
"Isu ini perlu ditangani dengan lebih berhemah termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penilaian impak sosial serta proses yang lebih teratur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata, keputusan itu sebenarnya telah diputuskan lebih awal melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum cadangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Menurut beliau, MMKN telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim untuk meneliti kawasan alternatif memandangkan bantahan keras yang timbul di sekitar Bukit Tagar.
"Sebenarnya sebelum Perdana Menteri maklumkan kepada kita hari Rabu lalu, MMKN memang telah memberi arahan supaya projek itu ditangguhkan dan kawasan alternatif dicari kerana kita melihat wujud bantahan keras di kawasan Bukit Tagar," katanya.
Amirudin menegaskan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berhati-hati dan inklusif, serta akan mempertimbangkan pandangan semua pihak sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Amirudin mengakui pada peringkat awal, wujud kekeliruan dan salah faham sehingga isu berkenaan dilihat seolah-olah diputuskan secara tergesa-gesa.
"Isu ini sudah melampaui daripada realiti sebenar dan sebab itu kita ambil keputusan untuk tangguh serta batalkan dahulu sementara kita beri penjelasan yang jelas kepada semua pihak," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus melindungi kepentingan semua pihak termasuk pengusaha terlibat, dengan sebarang keputusan dibuat secara adil dan saksama tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.
"Perbincangan dengan pengusaha akan tetap diteruskan. Kita mahu penyelesaian yang adil, munasabah dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar dijangka disegerakan sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, cadangan tersebut mencetuskan bantahan penduduk, khususnya melibatkan empat Felda di daerah berkenaan yang memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan Kerajaan Negeri agar tidak meneruskan rancangan pemindahan itu kerana didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan ketidaksetujuan terhadap perancangan Kerajaan Negeri membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah, pihak istana tidak bersetuju terutamanya kerana terdapat kemungkinan projek tersebut melibatkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Sementara itu, Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengesyorkan agar projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih sesuai.









Comments