Bangun mekanisme pampasan serantau 'pencemar membayar' tangani jerebu


Beliau berkata, cadangan lain termasuk pendedahan maklumat syarikat yang dikenal pasti terlibat berdasarkan bukti, termasuk syarikat berkepentingan Malaysia sekiranya didapati terbabit.
Katanya, ASEAN juga perlu membangunkan mekanisme penalti dan pampasan serantau berasaskan prinsip 'pencemar membayar', bukan sekadar mengeluarkan kenyataan bersama setiap kali jerebu berlaku.
"Krisis jerebu yang kembali menyelubungi negara tidak boleh lagi dianggap sebagai bencana bermusim yang terpaksa diterima rakyat setiap tahun.
"Apabila sekolah ditutup, kanak-kanak terpaksa berada di rumah, pesakit yang mengalami masalah pernafasan memenuhi klinik dan kehidupan harian rakyat terganggu, ini bukan sekadar masalah cuaca.
"Ini adalah kegagalan tadbir urus alam sekitar yang berlaku berulang kali tanpa penyelesaian tegas," katanya menerusi satu kenyataan.
Mujahid berpendapat, Malaysia perlu segera menyelaraskan penghantaran aset, kepakaran dan anggota yang benar-benar diperlukan untuk memadamkan kebakaran serta menghalang api daripada terus merebak di kawasan tanah gambut.
Namun ujarnya, bantuan kecemasan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kerajaan mesti menggunakan sepenuhnya Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
"Ia untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi kebakaran, pemilik konsesi, rekod kawalan kebakaran dan tindakan penguatkuasaan.
"Rakyat berhak mengetahui siapa yang mencemarkan udara yang mereka hirup.
Udara adalah nikmat pemberian Tuhan dan perlu dipelihara supaya semua pihak menikmatinya dengan bersih dan selamat.
"Jerebu bukan takdir tahunan. Ia boleh dicegah jika ada keberanian politik, ketelusan dan penguatkuasaan.
"Kesediaan Indonesia menerima bantuan negara jiran juga merupakan satu perkembangan positif," katanya lagi.
Untuk rekod, jerebu rentas sempadan yang berasal dari wilayah Indonesia memasuki bulan kedua dan kesannya menyebabkan banyak sekolah di Malaysia terpaksa ditutup dan aktiviti harian dihadkan.




Comments