top of page

Bangkit cendekiawan Islam lawan pencerobohan Gaza, Masjid al-Aqsa - IAIS Malaysia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 4
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS Malaysia) menggesa pemimpin Islam, cendekiawan, dan institusi keagamaan di seluruh dunia agar bangkit menentang jenayah kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa, Palestin.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusinya Dr Maszlee Malik menyifatkan tindakan rejim Israel sebagai satu bentuk genosid disengajakan dengan menggunakan kebuluran sebagai senjata perang yang telah mengorbankan puluhan kanak-kanak dan menghancurkan sistem kesihatan di Gaza.


"Ini bukan lagi sekadar krisis kemanusiaan tetapi satu jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dirancang. Kita tidak boleh diam," tegas Maszlee.


Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

Beliau merujuk kepada laporan badan kemanusiaan antarabangsa yang mengesahkan 93 peratus penduduk Gaza kini berada dalam tahap krisis kebuluran, manakala hampir setengah juta berada dalam kategori “malapetaka” akibat sekatan bantuan asas oleh tentera penjajah.


Kenyataan itu turut mengutuk tindakan Menteri sayap kanan Israel, Itamar Ben-Gvir yang menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa pada 3 Ogos lalu, sambil melakukan ritual Talmudik di bawah kawalan ketat polis Israel.


Menurut IAIS, tindakan itu adalah satu pencabulan terang-terangan terhadap tempat suci umat Islam dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva Keempat.


Maszlee menyeru para ulama agar tidak berdiam diri, sebaliknya menggunakan pengaruh mereka untuk mengeluarkan fatwa yang mengutuk kepimpinan Israel dan semua pihak yang bersubahat termasuk syarikat yang meraih keuntungan daripada penderitaan rakyat Palestin.


"Adalah tidak bermaruah jika ada yang mengaut keuntungan daripada penderitaan ini, apatah lagi jika ia dilakukan oleh individu atau entiti Muslim sendiri," katanya.


Beliau juga menggesa agar institusi Islam memainkan peranan aktif dalam menyokong langkah undang-undang antarabangsa termasuk siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan pelaksanaan sekatan, pembekuan aset serta larangan perjalanan ke atas mereka yang terbukti terlibat dalam jenayah kemanusiaan.


Menurut kenyataan tersebut, kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan jemaah Masjid al-Aqsa adalah antara golongan paling terkesan akibat pembunuhan luar perbicaraan, kebuluran dan pencabulan spiritual yang sistematik.


"Al-Aqsa bukan simbol, ia jantung ummah. Anak-anak Gaza bukan statistik, mereka jiwa tidak berdosa yang diseksa atas nama dasar ketenteraan," ujar Maszlee.


Dalam kenyataan itu, Maszlee mendoakan agar para pemimpin dan cendekiawan Islam diberi kekuatan oleh Allah untuk berdiri teguh bersama yang tertindas dan berani bersuara di hadapan kezaliman tanpa kompromi.


"Kami merayu kepada para pemimpin dan ulama Islam: Suarakanlah kebenaran, fatwakanlah keadilan dan bangkitlah bertindak sebelum darah yang tumpah bersaksi di hadapan Tuhan, menjerit meminta haknya yang dikhianati," katanya.

1 Comment


YoPlay Game On
YoPlay Game On
Oct 01

Stickman Slash transports you to a realm of fierce sword battles where every blow counts. To beat opponents in this thrilling, action-packed 2D battle, you must dodge, stab, and plan.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page