top of page

Bahas RCI Tabung Haji waktu Belanjawan 2027: Pas terlepas bas?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read

Pas cuba menggambarkan seolah-olah parti itu paling prihatin terhadap kepentingan umat Islam dan pendeposit Tabung Haji apabila mahu membahaskan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada persidangan Belanjawan 2027.


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa isu berkenaan akan dibahaskan pada sidang Belanjawan 2027 pada Oktober depan menimbulkan persoalan mengenai tindakan parti itu memboikot sesi khas perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah disediakan Parlimen baru baru ini.


"Rakyat wajar bertanya satu soalan mudah. Walaupun tidak salah untuk nak bahas masa sidang Bajet 2027 pada Oktober akan datang, tetapi isu Laporan RCI TH adalah isu ummah, mengapa apabila Parlimen menyediakan sesi khas untuk membincangkan RCI Tabung Haji, Pas memilih untuk memboikot?" katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Mahfuz, Pas sepatutnya mengambil peluang untuk hadir, mendengar penjelasan dan membahaskan isu tersebut ketika ruang berkenaan disediakan, bukannya tidak hadir atas alasan mengikut keputusan Ketua Pembangkang untuk memboikot sesi khas itu.


"Pas sentiasa terlepas bas dan stesen pun belum siap. Peluang untuk hadir, mendengar penjelasan dan membahaskan isu RCI Tabung Haji sudah disediakan.


"Tetapi Pas memilih untuk tidak hadir kerana kononnya mengikut keputusan Ketua Pembangkang untuk memboikot sesi khas tersebut. Amat menghairankan," katanya.


Beliau mempersoalkan sama ada kepentingan ummah boleh diketepikan hanya kerana arahan politik.


"Dalam Islam, menjaga kemaslahatan dan keselamatan umat bukan sekadar menjadi bahan ceramah. Ia menuntut amanah, keberanian dan kesungguhan untuk berada di tempat keputusan dibuat," katanya.


Mahfuz berkata, Pas tidak seharusnya hanya tampil selepas sesuatu perbahasan selesai, sedangkan peluang untuk bersuara telah diberikan.


"Ketika pintu Parlimen dibuka untuk membahaskan isu Tabung Haji, mereka tidak masuk. Selepas pintu ditutup, mereka pula paling kuat mengetuk!


"Itulah politik “terlepas bas, kemudian salahkan pemandu”."


Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan isu RCI Tabung Haji tidak wajar dicampuradukkan dengan Bajet 2027 kerana kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza.


Beliau menyifatkan Parlimen mempunyai aturan, jadual dan tanggungjawab yang perlu dihormati, bukannya ruang yang boleh ditangguhkan sesuka hati atas pertimbangan politik.


"Parlimen bukan kenduri kahwin yang kalau tak sempat hadir, kena tunggu kenduri aqiqah pula. Parlimen mempunyai aturan, jadual dan tanggungjawab.


"Kalau semua perkara mahu dicampur-adukkan atas alasan politik, akhirnya rakyat yang menjadi mangsa. Inilah buang masa," katanya.


Mahfuz turut berkata kecerdikan politik tidak seharusnya diukur berdasarkan sekuat mana seseorang bercakap, sebaliknya berdasarkan keputusan yang dibuat ketika peluang berada di depan mata.


Beliau mengibaratkan tindakan Pas itu seperti individu yang tidak menghadiri kenduri kahwin kerana merajuk, kemudian memilih untuk hadir pada kenduri aqiqah yang diadakan kemudian.


"Masalahnya, isu Tabung Haji bukan kenduri yang boleh tunggu majlis berikutnya. Ini amanah berbilion ringgit dan melibatkan jutaan pendeposit."


Justeru, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggesa Pas supaya menggunakan ruang Parlimen sebaik-baiknya sekiranya benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan pendeposit Tabung Haji.


Menurutnya, prinsip dalam pentadbiran seharusnya mudah iaitu menyokong perkara yang baik untuk rakyat, menegur perkara yang salah dan mempersoalkan perkara yang meragukan.


"Itulah politik matang. Kalau setiap perkara hendak dijadikan permainan siapa menang dan siapa kalah, akhirnya rakyat tidak mendapat apa-apa," katanya.


Mahfuz menegaskan isu RCI Tabung Haji bukan pentas politik, sebaliknya berkaitan amanah yang melibatkan kepentingan jutaan pendeposit.


"Kalau benar Pas mahu membela ummah, jangan sekadar tunjuk jari dari luar dewan. Masuklah ke dalam dewan, angkat tangan, bangun dan bersuara.


"Jangan terlepas bas, kemudian marah kepada bas. Jangan boikot stesen, kemudian mendakwa kita paling tahu jalan," sinisnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page