Bahan kempen dirosakkan, Fakharuddin seru pengundi pilih politik matang
- Redzuan Shamsudin
- 1 hour ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Pasir Raja, Fakharuddin Moslim, pada hari terakhir berkempen mendedahkan sepanjang dua minggu ini beberapa bahan kempen miliknya telah menjadi sasaran vandalisme.
Menurut beliau, beberapa billboard juga telah dibakar, dikoyakkan, diconteng dan dirosakkan, manakala bendera-bendera kempen yang dipasang di pelbagai lokasi turut dicabut serta dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Fakharuddin berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui perbuatan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan suasana kebencian.
"Pilihanraya ialah medan untuk rakyat menilai idea, dasar dan tawaran terbaik kepada masyarakat, bukannya medan untuk melakukan ugutan atau perbuatan khianat," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Johor menegaskan insiden berkenaan tidak akan melemahkan semangatnya dan pasukan, malah menjadi pemangkin untuk terus membawa pendekatan politik yang lebih matang, berakhlak dan berteraskan hikmah.
"Apa yang berlaku tidak akan melemahkan semangat saya dan seluruh pasukan. Sebaliknya, ia menguatkan lagi tekad kami untuk membawa politik yang lebih matang, berakhlak dan berteraskan hikmah," ujarnya.
Justeru, pada hari pengundian esok, Fakharuddin mengajak seluruh pengundi di DUN Pasir Raja agar meninggalkan budaya politik yang dipenuhi kebencian dan permusuhan, sebaliknya memilih kepimpinan yang mengutamakan perpaduan serta kebajikan rakyat.
"Esok, keluarlah mengundi. Gunakan hak anda untuk menentukan masa depan Pasir Raja. Ayuh kita bersama-sama mencipta perubahan," katanya lagi.
