top of page

Asing kuasa AG, Pendakwa Raya reformasi perundangan, perlu disokong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 11
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Persetujuan Kerajaan MADANI secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya merupakan langkah memenuhi tuntutan utama agenda reformasi undang-undang di bawah pentadbiran semasa.


Itu pandangan diberikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) selepas kerajaan mengumumkan keputusan bersejarah itu petang semalam menerusi Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.


Hassan berkata, sebagai seorang peguam, beliau menyedari bahawa terdapat beberapa pindaan Perlembagaan perlu dilakukan oleh Parlimen bagi menyempurnakan pemisahan kuasa tersebut.


"Dalam hal ini saya berharap semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang di Parlimen, akan menyokong usaha menjayakan reformasi institusi penting negara dengan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.


Susulan pengumuman semalam, Hassan turut menzahirkan sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunaikan janji reformasi perundangan sebagaimana diperjuangkan oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan sejak dua dekad lalu.


"Sebagai Ahli Parlimen dan anggota 'backbencher' kerajaan, saya menyokong penuh dan mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam yang bersetuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya," ujarnya lagi.


Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM), bagi tujuan merealisasikan pemisahan kuasa maka pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.


Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.


"Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).


"Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada," kata kenyataan itu.


Untuk rekod pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah tuntutan dasar yang diperjuangkan oleh KEADILAN, parti yang mendukung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999 lalu.


Pengasingan itu bagi meneguhkan keyakinan rakyat kepada institusi perundangan negara agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai atau mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page