top of page

Asia Barat: Malaysia perlu desak reda ketegangan, rakyat wajib bersatu

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 30
  • 2 min read

Malaysia perlu memainkan peranan lebih tegas di pentas antarabangsa bagi meredakan ketegangan (de-eskalasi) konflik di Asia Barat, di samping memperkukuh perpaduan nasional sebagai benteng menghadapi tekanan global, kata Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee.


Beliau menegaskan kerajaan perlu menggunakan semua saluran diplomatik untuk menggesa kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) agar mengelakkan sebarang serangan darat ke atas Iran.


"Saya menggesa kerajaan Malaysia untuk menyeru Amerika Syarikat serta semua kuasa global supaya mengamalkan tahap kekangan maksimum, tiada pencerobohan tentera darat di Iran," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, sebarang tindakan sedemikian berisiko mencetuskan konflik lebih besar yang boleh berkembang menjadi krisis global.


Howard Lee turut mengingatkan walaupun konflik berlaku jauh dari Malaysia, kesannya sudah dirasai rakyat melalui peningkatan kos sara hidup.


"Perang ini mungkin kelihatan jauh buat masa ini, tetapi ia sudah pun menjadi krisis kos sara hidup global yang semakin memburuk bagi setiap isi rumah Malaysia, daripada harga petrol hingga inflasi makanan," katanya.


Howard Lee
Howard Lee

Krisis Asia Barat disifatkannya seumpama menghampiri “Detik Franz Ferdinand”, merujuk kepada pembunuhan tokoh pengimbang di Eropah, Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo, Bosnia yang kemudiannya mencetuskan Perang Dunia Pertama.


"Di mana satu eskalasi sahaja boleh mencetuskan reaksi berantai merentasi pasaran tenaga, laluan perdagangan, ekonomi negara, dan yang paling penting, keamanan dunia," tegasnya.


Pada masa sama, beliau menjelaskan keputusan kerajaan berkaitan subsidi bahan api, termasuk pelarasan kuota RON95 bersubsidi, merupakan langkah sukar tetapi perlu dalam keadaan tekanan fiskal.


"Keputusan sukar kerajaan berhubung subsidi bahan api bukanlah pilihan keselesaan, tetapi keperluan untuk kelangsungan hidup negara dalam menghadapi tekanan fiskal yang belum pernah berlaku," ujarnya.


Namun pada ssat genting ini, pada pendapat beliau, perpaduan rakyat adalah strategi utama negara. Perpecahan dalaman hanya akan melemahkan Malaysia dalam menghadapi krisis.


Peningkatan kos subsidi bahan api


Selain itu, beliau memberi amaran mengenai peningkatan mendadak kos subsidi bahan api negara yang kini mencecah sekitar RM4 bilion sebulan, berbanding kira-kira RM700 juta sebelum konflik Asia Barat.


"Apa akan terjadi jika harga minyak mentah mencecah AS$150, AS$180 atau AS$200 setong? Kos sebenar RON95 boleh melebihi RM5 hingga RM6 seliter.


"Untuk mengekalkan harga subsidi RM1.99, kerajaan perlu menanggung perbezaan yang sangat besar. Subsidi bulanan boleh melonjak kepada RM10 hingga RM15 bilion," katanya.


Beliau juga mengingatkan bahawa kira-kira 50% bekalan minyak Malaysia melalui Selat Hormuz, manakala hampir 60% import minyak Asia bergantung kepada Timur Tengah. Jika kedua-dua laluan tersebut terganggu serentak, kesannya ia akan menjadi kejutan tenaga global yang menggoncang kos penghantaran, inflasi dan kewangan awam, serta menjejaskan setiap rakyat.


Sebagai langkah ke hadapan, Howard Lee menggesa Malaysia untuk memanfaatkan platform seperti ASEAN, Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mendesak penyelesaian damai.


"Oleh itu, saya menyeru kerajaan menggunakan semua saluran dua hala dan pelbagai hala bagi mendesak de-eskalasi segera. Kita bukan pemerhati, kita adalah pihak berkepentingan," katanya.


Beliau juga menyeru supaya rakyat Malaysia kembali bersatu dalam menghadapi cabaran global yang semakin meruncing.


"Jika krisis ini semakin buruk, ia akan menguji setiap isi rumah dan setiap perniagaan. Jika kita berpecah, kita akan menjadi lebih lemah dan lebih ramai akan terjejas," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page