Anwar temui Xi Jinping, perkukuh hubungan strategik Malaysia-China


Saya menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Presiden Xi yang terus memainkan peranan penting dalam mencorak landskap geopolitik dan tatacara dunia (world order), khususnya kebijaksanaan beliau dalam mengemudi hubungan antara kuasa-kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun - Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara selepas berakhirnya Sidang Kemuncak APEC 2026 di Shenzhen, semalam.
Anwar berkata, pertemuan itu menjadi acara penutup kepada lawatan rasmi beliau ke Shenzhen di bawah kerangka sidang kemuncak berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Xi yang disifatkan memainkan peranan penting dalam mencorak landskap geopolitik dan tatacara dunia, khususnya dalam mengemudi hubungan antara kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara membangun.
"Saya menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Presiden Xi yang terus memainkan peranan penting dalam mencorak landskap geopolitik dan tatacara dunia (world order), khususnya kebijaksanaan beliau dalam mengemudi hubungan antara kuasa-kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun," katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak APEC 2026 yang disifatkannya berlangsung dengan cemerlang.
Menurutnya, penganjuran itu memperlihatkan keupayaan China dari segi pembangunan prasarana, kecekapan pentadbiran serta penyelarasan organisasi.
"Lebih bermakna, pendekatan China yang memberikan penghormatan dan layanan saksama kepada semua negara, tanpa mengira kekuatan ekonomi mahupun kedudukan geopolitik, wajar dijadikan teladan dalam membina tatanan antarabangsa yang lebih adil dan bermaruah," katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan China tanpa tunduk kepada sebarang tekanan luar.
Katanya, hubungan kedua-dua negara perlu terus berteraskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama demi kemakmuran Malaysia serta China, selain kesejahteraan rantau ini.




Comments