top of page

Anwar rai kunjungan PM Singapura, perkukuh hubungan dua hala

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Pertemuan di Seri Negara yang bersejarah melambangkan hubungan akrab pemimpin Malaysia - Singapura
Pertemuan di Seri Negara yang bersejarah melambangkan hubungan akrab pemimpin Malaysia - Singapura

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini meraikan kunjungan sahabat dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, dalam satu majlis istimewa di Seri Negara sempena lawatan khas pemimpin republik itu ke Malaysia.


Menurut Anwar, pertemuan berkenaan cukup bermakna kerana berlangsung di sebuah rumah agam berusia lebih seabad yang menjadi saksi pelbagai detik penting sejarah negara, termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan 1957.


"Saya dan PM Lawrence meneruskan coretan sejarah ini dalam pertemuan selama hampir tiga jam.


"Kami sempat meninjau serta mendengar penerangan mengenai sejarah dan usaha pemuliharaan Seri Negara menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur," katanya dalam muat naik di media sosial.

Perbincangan santai dua pemimpin mempererat persahabatan antara dua negara
Perbincangan santai dua pemimpin mempererat persahabatan antara dua negara

Beliau berkata, kedua-dua mereka turut berbuka puasa bersama sebelum meneruskan pertemuan empat mata sewaktu makan malam bagi membincangkan usaha mempererat persahabatan Malaysia-Singapura.


Anwar turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan Lawrence yang disifatkannya sebagai manifestasi persahabatan erat antara kedua-dua negara, di samping memperteguh hubungan peribadi antara mereka.


"Saya amat menghargai kunjungan PM Lawrence yang menjadi manifestasi persahabatan kedua-dua negara, di samping memperteguh hubungan peribadi antara kami


"Semoga pertemuan ini serta keberkatan Ramadan terus menyuburkan persefahaman dan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Singapura," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page