Anwar pulang dari Shanghai, ziarah jenazah abang di Cherok Tokun


Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru pulang daripada lawatan kerja di Shanghai, China, hari ini terus ke Cherok Tokun bagi menziarahi jenazah abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 11.05 pagi di kediaman keluarganya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketibaan Perdana Menteri disambut suasana hiba apabila beliau meluangkan masa bersama keluarga sebelum menziarahi jenazah Allahyarham yang juga dikenali sebagai Cikgu Idrus.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar meluahkan rasa sayu dan hiba selepas pulang ke Cherok Tokun untuk bersama keluarga besar mengiringi pemergian Allahyarham.

"Pulang ke Cherok Tok Kun dengan hati yang sarat rasa sayu dan hiba, untuk bersama keluarga besar mengiringi dan menitipkan salam terakhir buat Allahyarham Idrus Ibrahim," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas segala kasih, jasa dan budi Allahyarham kepada keluarga sepanjang hayatnya.
"Terima kasih atas segala kasih, jasa dan budi yang dicurahkan buat keluarga ini sepanjang hayatmu," ujarnya.
Anwar berkata keluarganya akan terus melangkah dan menguatkan hati meneruskan kehidupan walaupun kehilangan itu meninggalkan ruang yang sukar untuk diisi.
"Insya-Allah, kami akan terus melangkah, menguatkan hati meneruskan saki-baki kehidupan, meski kehilangan ini meninggalkan ruang yang tidak mungkin terisi," katanya.
Allahyarham Idrus, 83, meninggal dunia dalam tidur dipercayai akibat sakit tua.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Dewan Solat Masjid Cherok Tokun Bawah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah selepas solat Jumaat.
Kediaman keluarga Perdana Menteri sejak semalam tidak putus-putus dikunjungi ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta orang ramai bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam turut dikenali dalam kalangan masyarakat setempat sebagai Cikgu Idrus.
Suasana hiba turut menyelubungi ruang tamu kediaman keluarga Perdana Menteri yang menempatkan jenazah Allahyarham, dengan ahli keluarga dan sahabat handai mengalunkan bacaan surah Yasin serta ayat suci al-Quran.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim serta beberapa pemimpin parti Ahli Parlimen dan ADUN.




Comments